Pilih Bahasa

Penunggang motosikal warga emas maut diseret Proton Wira

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Seorang lelaki warga emas maut apabila motosikal yang ditunggang dirempuh kenderaan jenis Proton Wira di Kilometer 35 Jalan Semporna Tawau, petang tadi.

Dalam kejadian pukul 3.36 petang itu, mangsa berusia 60 tahun yang menunggang motosikal jenis Modenas parah akibat diseret kenderaan proton terbabit dan disahkan maut di lokasi kejadian.

Mangsa (dilitupi kain putih) disahkan maut di tempat kejadian. Gambar SNT/Ihsan JBPM Sabah

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Sabarudin Rahmat berkata kejadian berlaku ketika pemandu kenderaan berusia 46 tahun sedang dalam perjalanan dari Semporna menuju ke Tawau.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu terbabit cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya.

“Dalam masa yang sama, mangsa dari arah yang sama cuba memasuki simpang sebelah kanan. Akibat jarak terlalu dekat, pemandu tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal mangsa.

“Akibat rempuhan itu, motosikal mangsa tercampak ke bahu jalan manakala mangsa terseret di bawah kenderaan proton terbabit sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Semporna cuba mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian depan kenderaan. Gambar SNT / Ihsan JBPM Sabah

Beliau berkata siasatan akan diteruskan dan kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan cuai.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) daerah ini berkata Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 3.12 petang.

Tujuh anggota bersama seorang pegawai bertindak ke lokasi kejadian dengan jarak 31 kilometer menaiki dua jentera penyelamat.

Pasukan Bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah kenderaan terbabit.

Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi ditamatkan sepenuhnya pukul 4.06 petang. – SabahNewsToday