Pilih Bahasa

Penunggang parah terperosok di bawah bas persiaran

Oleh Junaidi Ladjana

Mangsa diusung ke ambulan untuk di bawa ke hospital untuk rawatan lanjut. – Gambar SNT/Ihsan Bomba

KOTA KINABALU: Seorang lelaki nyaris maut apabila motosikal ditunggangnya terbabas lalu terperosok di bahagian bawah sebuah pas persiaran yang parkir di tepi jalan di Jalan Tun Fuad Stephens di sini, petang tadi.

Dalam kejadian pukul 5.40 petang itu, mangsa berusia 40an yang parah pada bahagian kepala kemudian dikejarkan ke hospital berhampiran sebaik berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.49 petang dan menghantar sepasukan anggota ke lokasi kejadian.

Anggota bomba terpaksa meniarap masuk di bawah bas persiaran untuk mengeluarkan mangsa yang terperosok. – Gambar SNT/Ihsan Bomba

“Sebaik tiba didapati mangsa berada di bawah bas yang parkir di tepi jalan berhadapan Hotel Marriot dan mangsa mengalami parah.

“Pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa dan diberikan rawatan awal oleh anggota EMRS,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut manakala operasi menyelamat pada pukul 6.09 petang. – SabahNewsToday