Pilih Bahasa

PENUNTUT UMS TERSELAMAT JATUH DARI TINGKAT 10

Oleh Mohd Adam Arinin

Mangsa Lee Miao Lynn, 21, diberikan rawatan awal selepas terjatuh dari tingkat 10 di sebuah kolej kediaman UMS di sebuah pusat beli-belah di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ehsan IPD Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Seorang penuntut wanita Universiti Malaysia Sabah (UMS) terselamat selepas terjatuh dari tingkat 10 kolej kediaman universiti berkenaan di sebuah pusat beli-belah di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata mangsa difahamkan cuba memanjat koridor untuk mengambil tuala dan terjatuh.

“Mangsa yang berumur 21 tahun ditemui terbaring pada bumbung pada tingkat 7 bangunan tersebut selepas terjatuh dari tingkat 10.

Mangsa Lee Miao Lynn, 21, terbaring di bumbung tingkat 7. Gambar SNT/Ehsan IPD Kota Kinabalu.

“Mangsa yang masih dalam keadaan sedar dirawat oleh pasukan perubatan yang tiba. Dia mengalami kecederaan patah kedua-dua kaki dan kini sedang dirawat di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKK),” katanya dalam satu kenyataan.

Difahamkan mangsa, Lee Miao Lyn, berasal dari Pulau Pinang dan merupakan penuntut tahun tiga program Sarjana Muda Doktor Perubatan di universiti berkenaan. -SabahNewsToday