Pilih Bahasa

Penuntut IPTA maut dalam kemalangan di Jalan Ranau-Lohan-Poring

Oleh Alfred Petrus

Keadaan Perodua Axia yang terbalik ketika kemalangan tersebut. – Gambar SNT/Ihsan IPD Ranau

RANAU: Seorang penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) wanita maut dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 15 Jalan Ranau-Lohan-Poring, petang kelmarin.

Ketua Polis Ranau, Deputi Superitendan Mohd Shahrul Abdul Wahab berkata mangsa dikenali sebagai Amirah Syafiqah Shaarani, 23, disahkan meninggal dunia pagi tadi selepas mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Ranau.

Mohd Shahrul berkata punca kematian adalah disebabkan kecederaan parah di kepala (Severe Head And Abdominal Injuries Secondary To Motor Vehicle Accident).

Menurutnya dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang semalam, kenderaan jenis Perodua Axia yang dinaiki mangsa bersama tiga orang sahabatnya yang berumur antara 22 hingga 24 tahun itu terbabas sendiri dan terbalik di Jalan Lohan-Poring-Bongkud Ranau.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila Perodua Axia yang dipandu bergerak dari Kolam Air Panas Poring balik ke Kota Kinabalu. 

“Apabila sampai di KM-15, semasa menuruni bukit berselekoh, kenderaan terbabit telah hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan lalu terbalik empat tayar di sebelah kiri jalan. 

“Mangsa yang cedera parah terkeluar dari kenderaan semasa kenderaan berpusing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala dan tidak sedarkan diri semasa dihantar ke hospital manakala dua lagi penumpang dan pemandu yang berada di dalam kenderaan ketika kejadian kini  dirawat sebagaip esakit luar di Hospital Ranau.

Salah seorang mangsa, 24, yang mengalami luka di kaki kiri dan kanan pula adalah warga Nairobi Kenya.

Mohd Shahrul berkata kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – SabahNewsToday