Pilih Bahasa

Penurunan had umur 18 tahun pengiktirafan kepada belia

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU : Penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun bagi warganegara layak mengundi dan dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri adalah wajar kerana golongan belia pada usia itu telah matang untuk membuat pilihan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong, Jamawi Jaafar berkata langkah itu jelas memperlihatkan keyakinan kerajaan terhadap golongan belia untuk sama-sama terlibat dalam pembangunan negara.

Jamawi Jaafar. Gambar Fail SNT

Menurut beliau golongan belia pada usia 18 kini tidak lagi seperti dahulu kerana mereka banyak mempelajari serta membaca mengenai arus politik duinia menerusi ledakan teknologi maklumat.

“Lagipun sudah banyak negara di dunia yang mengamalkannya dan sudah sampai masanya Malaysia dalam pentadbiran kerajaan baharu khususnya di Sabah mengambil pendekatan itu apatah lagi kita sudah menghampiri 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan pembentangan Rang Undang Undang Enakman Perlembagaan Negeri (Pindaan) yang dibentangkan oleh Menteri Undang Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Mokthar pada persidangan Dun semalam.

Pindaan kepada Perkara 16 Perlembagaan Negeri itu diluluskan sebulat suara melalui proses undian belah bahagi apabila seramai 57 ahli bersetuju manakala lima tidak hadir sementara tiga lagi bercuti menjadikan Sabah adalah negeri pertama meminda perlembagaan menurunkan had umur kepada 18 tahun bagi seseorang warganegara yang layak mengundi dan boleh dipilih sebagai Adun.

Menurut Jamawi kerajaan melalui kementerian Pelajaran dan Invoasi perlu menambahbaik sukatan pelajaran kenegaraan sedia ada terutamanya sejarah Sabah yang agar kurang dalam sukatan mata pelajaran sejarah masa kini, agar belia lebih memahami konsep bernegara dengan lebih baik

Selain itu katanya Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Inovasi juga perlu merangka program jangka panjang selaras dengan perubahan undang-undang baharu ini yang perlu disertai pengisian yang sewajarnya terutamanya dalam aspek kepimpinan.

Tambah Jamawi, perubahan itu memberi peluang kepada golongan belia untuk turut sama bertanggungjawab sebagai pemilih dan pemimpin namun dalam masa yang sama diharapkan golongan ini mendapat lebih pendedahan untuk memahami konsep kenegaraan dan peranan mereka kepada negara.

“Kita harap peluang ini juga dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan belia memandangkan kelompok ini antara jumlah pengundi paling ramai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti,” katanya.

Sejajar dengan perubahan ini Jamawi yakin pada usia 18 tahun belia sudah cukup matang untuk membuat penilaian sewajarnya dalam menentukan hala tuju negara.

Dalam pada itu Jamawi berharap kerajaan akan turut melaksanakan pendaftaran sebagai pengundi secara automatik bagi bagi belia yang mencecah umur 18 tahun bagi membolehkan warganegara yang berusia 18 tahun bukan sahaja sah sebagai pemilih tapi melayakkan mereka boleh bertanding dalam PRU akan datang.

“Terdapat juga kaum belia yang sambil lewa terhadap pendaftaran sebagai pemilih yang sah, dengan adanya pendaftaran secara automatik ini mereka akan lebih peka dan bertanggungjawab sebagai warganegara kepada negara ” katanya. – SabahNewsToday