Pilih Bahasa

Penyanyi, malim gunung antara penerima ‘Sabah Top Achievers Awards 2019’

Mohd Azis (kiri) bersama antara penerima Sabah Top Achievers Awards 2019’ pada majlis penghargaan yang julung kali diadakan di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan Shariena Raiha Selamat

KOTA KINABALU, 23 Mac (Bernama) — Penyanyi dan pelakon tempatan Sabah, Abu Bakar Ellah, merupakan antara penerima anugerah ‘Sabah Top Achievers Awards 2019’ pada majlis penghargaan yang julung kali diadakan di sini malam tadi.

Lebih dikenali sebagai ‘Ampal’,  Abu Bakar, 60, berkecimpung dalam dunia seni sejak 1981 dan beliau menerima anugerah bagi kategori ‘Legendary Artist’ yang disampaikan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Selain berbakat sebagai penyanyi dan pelakon, beliau turut menulis lirik, menggubah lagu serta bermain alat muzik.

Sabah Top Achievers Awards 2019’ menerima anugerahn mereka yang disampaikan oleh Mohd Azis (kanan). – Gambar SNT/Ihsan Shariena Raiha Selamat

“Ini adalah pengiktirafan tertinggi yang pernah saya terima dan saya amat berterima kasih kerana mengiktiraf sumbangan saya sejak terlibat dalam dunia seni,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian anugerah itu, di sini.

Selain itu, empat malim gunung yang terkorban semasa gempa bumi di Ranau pada 2015 iaitu Robbi Sapinggi dan Joseph Solungin daripada Persatuan Malim Gunung Kinabalu serta Ricky Masirin dan Valerian Joannes daripada Mountain Torq Sdn Bhd, diberi penghargaan secara anumerta.

Lebih 30 penerima anugerah daripada pelbagai bidang dan organisasi diraikan pada majlis itu  yang dianjurkan dua platform media dalam talian iaitu The Leaders Online dan Borneo Pro Event.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman.

— BERNAMA