Pilih Bahasa

Penyatuan Ummah baik untuk kemajmukan rakyat Sabah

KOTA KINABALU: Tanggal 14 September mencatat sejarah apabila Umno dan Pas mengukir kata sepakat untuk berhimpun kembali dalam suasana kekeluargaan demi bangsa, agama dan negara.

Penyatuan ummah ini merupakan suatu berita baik juga untuk kalangan rakyat Sabah yang berbilang kaum dan agama kerana ianya bakal menjadi landasan terbaik ke arah perpaduan dan keharmonian jelata.

“Penyatuan ummah ini sebenarnya memberikan kepada Sabah hadiah yang sangat menarik dan berpadanan kerana Sabah mempunyai suku etnik yang banyak dalam usaha kita semua memperjuang dan mempertahankan semangat perpaduan yang sekianlama terjalin,” kata Datuk Dr Hjh Jainab Ahmad Ayid.

Datuk Jainab. Gambar Fail SNT

Katanya penyatuan ummah ini bukanlah merujuk kepada golongan Muslim semata tetapi perkataan UMMAH itu sebenarnya merujuk kepada semua lapisan masyarakat khususnya kepada suku etnik-suku etnik di Sabah yang majmuk.

“Rakyat hari ini sudah bijak pandai dan tahu menilai mana yang baik dan mana yang buruk. Kita tidak lagi berfikir secara kolot malah kita harus berfikir lebih maju ke hadapan.

“Semua masyarakat menghormati adat budaya dan anutan masing-masing yang namanya perpaduan kaum yang erat dan harus dipertahankan sampai bila-bila kerana semangat dan kekuatan sebeginilah yang mampu menjamin kemerdekaan Malaysia, Sabah dan Sarawak sekaligus membawa kepada kemakmuran dan kemajuan sosio-ekonomi,” jelas beliau lagi yang juga merupakan Ketua Wanita Umno Sabah.

“Umno tidak seperti sesetengah parti lain yang secara senyap meniupkan sentimen perkauman dan cuba untuk mencetuskan ketegangan dalam isu-isu agama Islam dan agama lain.

“Kita lebih fleksibel sejak dahulu lagi dan ianya terbukti di mana Umno Sabah mempunyai bilangan ahli bukan Muslim yang cukup besar dan begitu juga halnya dengan parti Pas yang kini menjadi sekutu kita dalam memperjuangan Permuafakatan Nasional,” ujar mantan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna itu lagi.

Beliau turut menasihati kalangan pejuang-pejuang tegar parti-parti di Sabah agar lebih peka dan berfikiran positif dalam menyentuh isu kaum dan agama yang nyata terlalu sensitif di era Malaysia Baharu ini.

Sentimen perkauman dan agama, jika dipersoalkan bakal memburukkan lagi keadaan dan mampu mencetus perselisihan faham, katanya.

“Berpolitik biar matang dan berfikir sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan berkenaan isu yang menyentuh sensitiviti masyarakat. Penyatuan ummah bukan hanya untuk golongan Muslim semata-mata tetapi lebih kepada istilah mengeratkan ikatan silaturrahim antara kita, masyarakat majmuk di Sabah.

“Penyatuan ummah ini bukan rasis atau pelampau agama kerana di dalamnya juga ada penyatuan ahli-ahli bukan Muslim dari masyarakat India, Cina, KadazanDusun, Murut, Sungai dan banyak lagi,” jelasnya.

Menurut Jainab yang juga merupakan Exco Wanita Umno Malaysia, istilah ‘Manifesto Bukan Kitab Suci’ umpama si pemungkir janji dan munafik terhadap apa yang pernah kerajaan sekarang janjikan untuk rakyat ketika PRU14 lalu.

Istilah tersebut dijadikan alasan bila janji itu sebenarnya semua palsu dan omong kosong sekaligus menipu dan mempermainkan perasaan rakyat berbanding dengan cara pemerintahan kerajaan BN yang mengotakan segala janji yang ditepati.

“Dalam perlembagaan negara cukup menyebut dengan menghormati status melayu dan bumiputera sekaligus menjadikan ianya istimewa dalam perlembagaan tersebut. Jangan pula kerana keghairahan sesetengah pihak terhadap isu ini sehingga mereka melupakan tentang hak-hak melayu dan bumiputera itu,” kata Jainab lagi.

Menurutnya, kerajaan BN terdahulu yang ditunjangi Umno adalah contoh paling terbaik kerana berusaha dari waktu ke waktu untuk memelihara dan mengekalkan status keistimewaan ini tanpa melupakan kepentingan suku etnik yang lain.

“Kebebasan beragama adalah amalan kita di Malaysia. Menghormati antara satu sama yang lain meskipun Islam itu agama rasmi persekutuan. Masyarakat mulai sedar dan kembali merindui slogan 1Malaysia yang menjadi asas kesinambungan sistem perpaduan kaum dan agama di negara kita,” ujarnya lagi.-SabahNewsToday