Pilih Bahasa

Ketua juruselam tempatan dan dua pelancong China maut dipercayai akibat bom ikan

Oleh Sabah News Today

Orang ramai membantu mengangkat mayat pelancong yang maut dipercayai akibat bom ikan. – Gambar SNT/Ihsan media sosial

Semporna: Seorang jurulatih menyelam dan dua pelancong asing ditemui maut di kawasan Pulau Island, Semporna, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Sabarudin Rahmat ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti punca kematian ketiga-tiga mangsa berkenaan.

“Kita masih menyiasat punca kematian ketiga-tiga mangsa berkenaan. Harap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan polis akan maklumkan sebarang perkembangan,” katanya.

Sejak petang tadi, viral gambar jurulatih menyelam dan dua pelancong asing maut dipercayai akibat bom ikan.

Dua pelancong China ditemui maut ketika menjalankan aktiviti menyelam di Pulau Kalapuan Sempornai. – Gambar SNT/Ihsan media sosial

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew berkata pihaknya sedih dengan kejadian tersebut itu yang dilaporkan berlaku kira-kira pukul 5.50 petang.

“Hari yang sangat menyedihkan kerana ia melibatkan pengeboman ikan yang mengakibatkan kematian  pelancong China dan penyelam tempatan.

“Sehubungan itu kita menggesa Esscom, polis marin dan Jabatan Perikanan Negeri agar mengambil pendirian serius terhadap pengeboman ikan. Ia haram dan harus diharamkan sama sekali. Penalti lebih berat juga harus dikenakan oleh pihak penguatkuasa terhadap pihak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Dua mangsa dikenali sebagai Zhao Zheng dan Xu Yingjie.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata pihaknya telah memaklumkan kepada Konsul Jeneral China dan Ketua Menteri mengenai tragedi sedih itu.

Beliau berkata pegawai di Lembaga Pelancongan Sabah (STB) juga telah bersiap sedia memantau keadaan ketika ini. – SabahNewToday