Pilih Bahasa

PENYELIA LADANG DIBELASAH, DUA LELAKI DITAHAN POLIS

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Seorang Penyelia Ladang menerima enam jahitan di bahagian kepala selepas dibelasah dua lelaki, di kawasan perumahan TSQ, Felda Umas, dekat sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian pukul 8 malam itu, mangsa bersama isteri dan dua anaknya dalam perjalanan pulang ke rumah menaiki motosikal melalui kawasan Pasar Tamu Felda Umas sebelum dihalang seorang suspek.

Mangsa menerima enam jahitan di bahagian kepala selepas dipukul oleh suspek menggunakan objek tumpul dipercayai batang besi. Gambar SNT/Ihsan IPD Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, mangsa kemudian menegur tindakan suspek dikenali sebagai Amin yang baring di atas motosikal sambil menghalang laluan, sebelum meneruskan perjalanan pulang.

Katanya, suspek dipercayai mengekori mangsa sehingga ke kawasan perumahan terbabit bersama seorang lagi rakan dikenali Salam, sebelum menahan dan memukul mangsa di kepala dan badan.

“Seorang daripada suspek memukul mangsa menggunakan objek tumpul dipercayai batang besi sebelum pergaduhan dileraikan orang awam yang berada di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Fadil berkata, mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Tawau dan menerima enam jahitan di bahagian kepala.

Susulan kejadian tersebut, Fadil berkata, kedua-dua suspek berusia 24 dan 25 tahun ditahan Polis Bantuan Felda Umas, pada hari yang sama.

“Motif kejadian dipercayai berpunca daripada suspek yang tidak berpuas hati selepas ditegur mangsa ketika menghalang laluan pada hari kejadian.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata,” katanya. – SabahNewsToday