Pilih Bahasa

Perak bermain lebih baik, tewaskan Sabah 3-0 di Ipoh

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Skuad Tambadau Sabah memulakan kempen Piala Malaysia 2019 dengan langkah kiri apabila tewas 0-3 kepada juara bertahan, Perak di Stadium Ipoh malam tadi.

Perlawanan bermula dengan Sabah dilihat cuba mengimbangi pasukan Perak yang bermain dengan lebih teratur di bahagian hadapan dan tengah.

Persembahan penjaga gawang Sabah Rohaimie Rohim yang selalunya kental juga nampak goyah malam tadi dengan beberapa keputusannya untuk keluar dari garisan tidak begitu meyakinkan.

Pertahanan Sabah diketuai Rawilson Batuil dan dibantu oleh Park Tae Su, Randy Baruh dan Evan Wensley juga benar-benar diuji oleh barisan serangan juara bertahan itu.

Hanya pada minit-minit awal Sabah mendapat peluang apabila mendapat tiga tendangan sudut berturut-turut namun tidak membuahkan hasil.

Sabah ketinggalan 0-1 pada minit ke-45 apabila pertahanan gagal mengeluarkan bola dari kotak penalti dan disudahkan oleh bekas pemain Sabah, Brendan Gan.

Lima minit babak kedua bermula, Sabah sekali lagi dibolosi, kali ini melalui tendangan kencang penyerang import, Careca apabila pertahanan Sabah sekali lagi gagal mengeluarkan hantaran lintang dari kotak penalti.

Selepas itu, ketua jurulatih Sabah Jelius Ating membuat pertukaran strategi mengeluarkan Jenius Karib yang jelas gagal menyaingi pertahanan Perak di sayap kiri dengan memasukkan Maxius Musa pada minit ke-63.

Maxsius mengambil tempatnya di posisi sayap kanan manakala Alto Linus menggantikan Jenius di kiri.

Walaubagaimanapun, cubaan pemain Sabah untuk menembusi benteng pertahanan Perak masih dapat dipatahkan dengan begitu mudah.

Penyerang Sabah, Aguinaldo Mendes juga diganti pada minit ke-88.

Jaringan ketiga Perak muncul pada minit terakhir masa kecederaan melalui hantaran tendangan sudut yang ditanduk tajam oleh penyerang import Perak Ronaldo Henrique tepat ke arah gol.

Rozaimie berjaya menampan cubaan tersebut namun gagal menangkap dengan kemas dan Leandro Dos  Santos antara tiga pemain Perak yang sedang menunggu bola hanya perlu membuat ‘tap in’.

Amat jelas sekali skuad Tambadau gagal menyaingi Perak di semua bahagian dan kedudukan akhir perlawanan 0-3 adalah petunjuknya.

Kedudukan terkini Kumpulan C selepas semua perlawanan berlangsung menyaksikan Perak dan Pahang ditangga atas berkongsi 3 mata manakala Sabah dan Pulau Pinang, masing-masing tanpa sebarang mata.

Selepas in Sabah akan mengharungi perlawanan kedua kumpulan C menentang Pulau Pinang di Stadium Bandaraya pada 7 Ogos.-SabahNewsToday