Pilih Bahasa

Perak curi satu mata di Likas

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Skuad Tambadau Sabah terpaksa berkongsi mata dengan Perak apabila hanya mampu seri 2-2 dalam aksi CIMB Liga Super Malaysia di Stadium Likas di sini malam tadi.

Anak buah Kurniawan Dwi Yulianto mempamerkan persembahan baik dan mendahului pasukan pelawat 2-1 pada babak pertama dalam perlawanan di stadium kosong.

Penjaga gol Perak gagal menyelamatkan tendangan percuma Mohd Azizan Nordin di Stadium Likas malam tadi. Gambar SNT/Ihsan Safa

Gol skuad Tambadau Sabah datang seawal minit ke-5 menerusi sepakan percuma cantik yang diambil pemain tengah Mohd Azizan Nordin dari jarak lebih kurang 30 meter di sebelah kiri Sabah.

Tendangan tinggi menjunam daripada Azizan mengelirukan penjaga gol Perak Mohd Nazrullah Abdul Aziz yang sudah terkeluar dari posisi.

Bagaimanapun, Perak atau ‘The Bos Gaurus’ berjaya menyamakan kedudukan melalui pemain kebangsaan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi pada minit ke-17.

Penjaring gol kedua Sabah Guy Kassa Gnabouyou (jersi no. 9) melompat tinggi. Gambar SNT/Ihsan Safa

Dalam situasi satu-lawan-satu, Shahrel dengan mudah menewaskan penjaga gol Sabah Rozaimie Rohim, yang diturunkan buat pertama kali dalam aksi Liga Super selepas tiga perlawanan.

Sepuluh minit kemudian Skuad Tambadau berhasil mendahului Perak melalui kombinasi menarik Petrus Shitembi, Alto Linus yang disudahkan dengan bergaya oleh Guy Kassa Gnabouyou.

Ia merupakan jaringan pertama Gnabouyou untuk Sabah musim ini.

Kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Dalam babak kedua, Perak bermula dengan garang dan hampir menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-48 namun cubaan pemain importnya Guilherme De Paula Lucrecio berjaya ditepis Rozaimie yang kemudian terkena palang dan keluar dari permainan.

Barisan pemain permulaan Skuad Tambadau Sabah. Gambar SNT/Ihsan Safa

Skuad Tambadau mempunyai peluang untuk menutup pintu Perak pada minit ke-55 namun tandukan Gnabouyou hasil hantaran Alto terus ke dakapan penjaga gol walaupun tidak dikawal.

Pada minit ke-79, penyerang Perak Muhammad Shahrel tidak mensia-siakan peluang untuk menjaringkan gol penyamaan sekaligus memusnahkan harapan Skuad Tambadau Sabah untuk memungut tiga mata penuh.

Kedudukan 2-2 kekal sehingga wisel penamat.

Presiden Safa Datuk Peter Anthony (tengah), timbalan presiden Datuk Abdul Rahman Zakaria (kiri) dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun menyaksikan perlawanan. Gambar SNT/Ihsan Safa

Kesemua perlawanan pada malam tadi kecuali PJ City menentang Terengganu yang ditunda berlangsung dalam stadium kosong sebagai langkah pencegahan jangkitan wabak Covid-19.

Empat perlawanan Sabah seterusnya turut ditunda.-SabahNewsToday