Pilih Bahasa

Peranan agensi laksana operasi keselamatan di Sabah perlu diselaraskan

Zamrose (kiri) sedang berbincang dengan Mohd Shafie dalam kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri hari ini. Gambar Bernama

KOTA KINABALU, 4 Feb (Bernama) — Peranan setiap agensi dalam pelaksanaan operasi pertahanan dan keselamatan di negeri ini perlu diselaraskan bagi mengelakkan salah faham aspek penugasan.

Panglima Medan Timur Tentera Darat Mej Jen Datuk Wira Zamrose Mohd Zain berkata terdapat operasi utama untuk pertahanan dan keselamatan di negeri ini membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).

Katanya bagi ATM, operasi di bawah Tentera Darat dilaksanakan adalah Op Belasah membabitkan kawalan pertahanan di sempadan antara Sabah dengan Kalimantan Indonesia dan Op Pasir di utara dan selatan Sabah di bawah tanggungjawab Markas Angkatan Bersama.

Menurutnya ESSCom juga melaksanakan operasi berasingan di kawasan timur negeri ini.

“Kita tahu di bahagian timur Sabah ini ada macam-macam agensi tetapi tidak didefinasikan dengan betul, jadi kami akan cuba definasikan.

“Kami akan cuba buat satu penugasan lebih terperinci supaya pelaksanaan tiga operasi ini secara berasingan tidak mendatangkan salah faham antara PDRM, ESSCom dan ATM,” katanya yang ditemui pemberita ketika melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini, hari ini.

Zamrose berkata penyelarasan itu bagi memudahkan pelaksanaan operasi dan mengelakkan ia bercelaru dari segi salah faham penugasan setiap agensi.

Beliau yang menjawat panglima medan timur tentera darat sejak November tahun lepas berkata secara asasnya penugasan dalam pelaksanaan operasi pertahanan dan keselamatan di negeri ini tiada masalah.

“Kami mahu penambahbaikan dan mengenal pasti masalah yang berlaku dan buat pelan tindakan untuk penambahbaikan,” katanya.

Menurutnya ATM juga terlibat dalam operasi bencana alam dan lain-lain tugas di negeri ini melibatkan gabungan dengan agensi awam apabila diperlukan.

— BERNAMA