Pilih Bahasa

PERANAN GURU DIDIK ANAK ANAK ISTIMEWA PERLU DISOKONG

Oleh Datu Ruslan Sulai

Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Uda Sulai pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Program Pendidikan Khas Integrasi SMK Tansau, di Hotel Pan Borneo, Putatan. Gambar SNT/Ehsan Perhubungan Awam DUN Petagas

PUTATAN: Peranan secara tuntas guru untuk mendidik anak-anak istimewa haruslah disokong oleh semua pihak dalam memastikan golongan itu dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran mereka.

Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Uda Sulai berkata, menggalas tanggungjawab sebagai guru pendidikan khas bukanlah suatu perkara yang mudah memandangkan ianya mempunyai peranan secara menyeluruh.

Beliau berkata, ianya termasuklah penekanan beberapa aspek termasuk kokurikulum dan juga perkembangan sahsiah yang baik dalam diri murid-murid pendidikan khas.

Antara pelajar yang menerima sijil pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Program Pendidikan Khas Integrasi SMK Tansau, di Hotel Pan Borneo, Putatan. Gambar SNT/Ehsan Perhubungan Awam DUN Petagas

“Ingatlah jangan jadikan kekurangan sebagai kelemahan sebaliknya jadikan ia satu kekuatan untuk terus berjaya dalam hidup.

“Selain mempunyai ilmu pendidik, guru yang terlibat perlu tahap kesabaran tinggi kerana setiap didikan harus disesuaikan mengikut tahap murid tersebut bagi membina jati diri, keperibadian mulia dan berpengetahuan dalam diri mereka nanti,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N. 18 Petagas itu berkata demikian selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Program Pendidikan Khas Integrasi SMK Tansau, di Hotel Pan Borneo, Putatan, hari ini.

Hadir sama adalah Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Tansau, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Penampang (Unit Teknik dan Vokasional) dan Penolong Kanan Pendidikan Khas SMK Tansau, Siti Noraidah Unuh.

Dalam majlis itu, seramai tujuh pelajar yang terdiri daripada pelajar pendidikan khas SMK Tansau menerima sijil tamat pembelajaran yang disampaikan tenaga pengajar sekolah berkenaan.-SabahNewsToday