Pilih Bahasa

Peranan PIBG penting bantu Kerajaan tingkatkan sistem pendidikan- Chrisnadia

Oleh Chris Maskilone

TUARAN: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memainkan peranan yang penting dalam membantu kerajaan meningkatkan lagi sistem pendidikan di negeri ini, menurut Ketua Wanita PKR Tuaran Chrisnadia Sinam.

“PIBG yang aktif bukan sahaja boleh membantu meningkatkan kualiti sistem perkhidmatan pengajaran dan pembelajaran sekolah, ia juga boleh meringankan bebanan kerajaan dari segi sumber kewangan untuk kemudahan fizikal sekolah,” katanya.

Chrisnadia (empat kanan) menerima skrol Tahun Baharu Cina daripada kumpulan tarian Singa. Gambar SNT/Chris Maskilone

Chrisnadia yang juga seorang Ahli Majlis Daerah Tuaran berkata demikian ketika merasmikan Pesta Ang Pow dan Tahun Baharu Cina di SJKC St Philip, Tamparuli hari ini.

Usaha serta inisiatif pihak PIBG SJKC St Philip turut mendapat pujian dari Chrisnadia kerana berjaya bekerjasama dengan masyarakat Tamparuli dan beberapa badan korporat mencari sumber kewangan bagi membiayai aktiviti-aktiviti murid sekolah dan menaik taraf bangunan sekolah.

Pujian juga harus diberikan kepada PIBG SJKC St Philip atas usaha mendedahkan para murid dengan kebudayaan masyarakat Sabah melalui pengwujudan pasukan Tarian Bambu dan Tarian Singa yang telah berjaya memenangi beberapa anugerah di peringkat negeri dan kebangsaan.

Dalam pada itu, Chrisnadia turut mengesa Kerajaan Persekutuan mempercepatkan penyaluran peruntukan kewangan bagi menyelesaikan masalah sekolah daif di seluruh Sabah.

Chrisnadia (duduk hadapan empat dari kiri) bersama tetamu khas lain di sambutan Tahun Baharu Cina dan Pesta Angpow SJKC St Philip, Tamparuli. Gambar SNT/Chris Maskilone

Menurutnya Sabah merupakan negeri yang mempunyai jumlah sekolah daif tertinggi dalam negara di mana 587 daripada 1,300 sekolah di Sabah telah diistiharkan daif dan tidak selamat diduduki pada tahun lalu.

Chrisnadia kemudian merasmikan bangunan serbaguna sekolah SJKC St Philip yang dibina dari dana sekolah dan sumbangan awam.

Turut bersama dalam acara perasmian tersebut ialah Datuk Dr Tang Yong Chew, pemilik Kumpulan Hotel Ibis.-SabahNewsToday