Pilih Bahasa

Peranan wanita muda Rungus diperkasa melalui Yayasan Gimpuhut

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Peranan wanita-wanita muda (gimpuhut) Momogun Rungus akan diperkasakan melalui penubuhan Yayasan Gimpuhut.

Presiden Persatuan Momogun Rungus Sabah (Samora), Datuk Jelani Hamdan berkata idea untuk menubuhkan yayasan berkenaan setelah menyedari keperluan mengekalkan impak positif yang wujud dalam Mintarab Gimpuhut Momogun (MGM) terhadap pesertanya.

Jelani (tengah) bersama Gimpuhut Momogun Rungus bersama-sama menyempurnakan gimik pra pelancaran Yayasan Gimpuhut. Gambar SNT/Alfred Petrus

“Samora telah mengadakan Pesta Mahagau Peringkat Negeri sejak beberapa tahun lalu dan ia semakin dikenali ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam pra pelancaran Yayasan Gimpuhut, di Bukit Padang, pada Isnin.

Antara lain, katanya acara berkenaan sudahpun melakukan pelbagai program yang mampu mempromosikan bahasa serta budaya Rungus itu sendiri.

Oleh itu, jelasnya sudah tiba masanya badan tertentu mengekalkan dan mengawasi kebajikan serta pembangunan bekas peserta, pemenang mahupun mana-mana pemenang ratu cantik yang disertai oleh Momogun Rungus.

“Ini termasuk penyediaan kursus dan bantuan yang berfokuskan kepada budaya, kraf mahupun pelancongan.

“Pada tahun-tahun sebelum ini, Samora telah melahirkan pemenang MGM untyk menjadi duta dan perwakilan Malaysia di World Travel Market (WTM) London dan International Tourismus-Börse Berlin (ITB Berlin).

“Melalui itu, kami telah memenangi beberapa anugerah dalam ekspo pelancongan antarabangsa ini,” jelasnya.

Beliau berharap terdapa penglibatan peserta MGM dalam yayasan itu dan tidak hanya berhenti selepas menyertai pertandingan dalam mempromosikan budaya Momogun Rungus di tahap yang lebih tinggi. -SabahNewsToday