Pilih Bahasa

PERANGKAP BUAYA DIPASANG

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Jabatan Hidupan Liar (JHL) memasang perangkap buaya di kawasan perparitan Jalan Sin Onn susulan aduan dan laporan daripada penduduk berhubung penemuan dua ekor buaya minggu lalu.

Ketua Masyarakat Cina Kawasan Bunga Raya, Chung Siang Ying berkata penduduk di sekitar kawasan perumahan bimbang jika sang bedal terbabit muncul terutamanya pada musim hujan dan banjir kilat.

Ketua Masyarakat Cina Kawasan Bunga Raya, Chung Siang Ying (empat dari kiri) memantau kakitangan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau melakukan proses pemasangan perangkap buaya, di kawasan perparitan Jalan Sin Onn. Gambar SNT/ Ihsan PKM Sri Tanjong

“Menurut aduan penduduk, dua ekor reptilia itu akan timbul di permukaan air ketika cuaca panas untuk berjemur dan akan menghilang apabila dirasai terdapat ancaman di sekitarnya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih atas kerjasama JHL dan berharap operasi penangkapan buaya tersebut berjalan dengan lancar,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Ketua Masyarakat Cina Kawasan Bunga Raya menghantar aduan kepada Jabatan Hidupan Liar daerah ini bagi mempercepat tindakan menangkap dua ekor buaya yang sering dilihat penduduk di kawasan perparitan, Jalan Sin Onn.

Aduan tersebut dibuat selepas salah seorang penduduk yang tinggal berhampiran tempat kejadian melihat buaya terbabit, kira-kira pukul 12 tengah hari, pada 20 Februari lalu. – SabahNewsToday