Pilih Bahasa

Peratusan graduan JPSM dapat pekerjaan dijangka meningkat menjelang 2020

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Dr Yusuf (tengah) dan bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedict (kiri) dan Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony (kanan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah. – Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

KOTA KINABALU: Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah yakin peratusan graduan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) yang memperoleh pekerjaan akan terus meningkat bagi tahun ini.

Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri, Datuk Dr Yusof Yacob berkata setakat Jun tahun ini kira-kira 77 peratus graduan JPSM di Sabah mendapat pekerjaan dalam pelbagai bidang.

“Kadar kebolehpasaran graduan JPSM mendapat pekerjaan tahun lalu adalah 73 peratus dan peratus sekarang sudah melebihi peratusan keseluruhan tahun sebelumnya.

“Oleh itu, kita yakin mampu melihat perkembangan positif graduan ini dalam bidang pekerjaan, malah JPSM yakin peningkatan ini akan dapat terus diperkasakan sehingga 90 peratus pada 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Isnin Aliasnih (Bersatu-Klias) berkaitan bilangan generasi muda yang mengikuti latihan di JPSM berjaya mendapatkan pekerjaan pada sidang Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Mengenai usaha yang dilakukan kementerian bagi membantu graduan yang masih menganggur, Dr Yusof berkata JPSM sedang dalam perancangan bagi mengadakan kolaborasi bersama pebagai industri berkaitan dengan bidang ditawarkan seperti syarikat Tan Chong Motor, Perodua, Toyota, Proton, Fook Loi dan Sabah Electricity Sdn. Bhd (SESB).

Sementara itu, beliau berkata kementerian melalui JPSM giat berusaha mengendalikan pelbagai program seperti Kembara Kerjaya dan Pameran Kerjaya di beberapa lokasi sekitar Sabah.

Menurut Yusof, Kembara Kerjaya Siri 1/2019 meliputi Kota Kinabalu, Keningau, Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Sandakan telah diadakan pada 25 sehingga 30 Mac manakala siri 2/2019 pula bakal berlangsung bermula 19 sehingga 23 Ogos hadapan membabitkan kawasan Kota Kinabalu, Kudat, Kota Marudu, Ranau dan Keningau.

“Selain itu, program Pameran Kerjaya bagi siri pertama turut sudah dilaksanakan antara 6 April hingga 9 Mei lalu melibatkan tiga lokasi iaitu Beaufort, Sipitang dan Sandakan.

“Siri kedua pula bakal menyusul membabitkan tiga lokasi seperti Beaufort (21 September), Lahad Datu (27 September) dan Semporna (12 Oktober),” katanya. – SabahNews Today