Pilih Bahasa

Perbalahan hanya bawa keburukan: Musbah

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Musbah (tiga dari kanan) menunaikan solat sunat terawih bersama jemaah di Surau Dewan Terbuka Datuk Musbah. – Gambar SNT/Ihsan Dun Tempasuk

KOTA BELUD: Sekurang-kurangnya 300 penduduk setempat termasuk pemimpin masyarakat tempatan menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Solat Sunat Terawih bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tempasuk, Datuk Musbah Jamli, semalam.

Majlis itu yang diadakan di Dewan Terbuka Datuk Musbah, Kampung Taun Gusi itu turut dihadiri pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan bukan Islam.

Dalam ucapannya Musbah berkata program itu berjaya menonjolkan kesepaduan dan keharmonian antara kedua-dua pihak dan pada masa sama program murni itu mampu mengeratkan hubungan silaturahim di antara masyarakat dan pemimpin di daerah ini.

Musbah (empkat dari anan) menyampaikan sumbangan iaitu kipas dan sejadah kepada Lamsil untuk kegunaan para jemaah di surau berkenaan. – Gambar SNT/Ihsan Dun Tempasuk

“Program ini juga berjaya mengikis sentimen perkauman dan keagamaan membabitkan pengikut dan penganut berlainan agama yang dibawa oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab.

“Kita tidak mahu wujud persengketaan yang akhirnya memberi kesan buruk kepada negara tercinta yang kita diami bersama, sebaliknya kita perlu saling menghormati kerana perbalahan hanya membawa keburukan,” katanya.

Turut hadir pada majlis iftar itu ialah Penolong Pegawai Daerah Kota Belud, Peter Jiton dan Presiden Dusun Tindal Bersatu Sabah(Usto) James Baga.

Dalam majlis itu juga Musbah turut menyampaikan bantuan kepada fakir miskin, anak yatim  dan muallaf serta sumbangan sebuah kerusi roda kepada seorang  pesakit lumpuh di Kampung Sayap iaitu Misa Delinsing.

Beliau juga menyumbangkan dua buah kipas dan sejadah kepada Pengerusi Masjid Jamek Kampung Taun Gusi, Lamsil Hamidsor. – SabahNewsToday