Pilih Bahasa

Perbanyakkan buku berkaitan kebudayaan, keramaian di Sabah

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Kebudayaan dan keramaian seperti Pesta Regatta Lepa ini perlu dikaji dengan lebih terperinci dan dijadikan buku sebagai bahan bacaan untuk masyarakat hayati keunikan yang terdapat di Sabah.

Timbalan ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jaujan Sambakong berkata orang ramai yang berbakat dalam bidang penulisan boleh menjana pendapatan melalui kajian tersebut tanpa bergantung dengan peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam.

Datuk Dr. Jaujan Sambakong (lima dari kiri) menerima cendera kenangan daripada Presiden Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Sa’adillah Abdillah. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Bahan bacaan bukan sahaja dalam bidang biodiversiti, hutan, marin yang ada di sabah namun juga budaya. Banyak ruang dan peluang untuk anak-anak muda yang memiliki pendidikan tetapi belum ada kerja untuk menjana pendapatan dengan menerbitkan buku berkaitan budaya di Sabah.

“Saya melihat tidak banyak buku-buku bacaan yang berkaitan budaya di Sabah. Kita kaya dengan budaya di Sabah. Ini adalah salah satu peluang yang baik terutama kepada anak-anak muda yang berminat dalam membuat kajian dan penulisan.

Majlis diserikan dengan persembahan tarian igal. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Jika tidak ada peruntukan untuk membuat buku, saya sendiri akan menyediakan peruntukan tersebut kepada orang ramai yang berminat dalam penulisan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Festival Igal Antarabangsa Regatta Lepa, di Dewan Masyarakat Semporna, di sini semalam.

Majlis berakhir dengan tarian Maglami-lami bagi suku kaum Bajau. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Turut hadir, Presiden Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Sa’adillah Abdillah dan Pengarah Jabatan Muzium Sabah, Arif Abd Hamid.

Dalam pada itu, beliau juga akan berbincang dengan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya berhubung inisiatif untuk mewujudkan Akademi Budaya di Pantai Timur Sabah.

“Hari ini menjadi satu permulaan yang baik kita sudah ketengahkan budaya kita di peringkat Antarabangsa dan tidak mustahil satu hari nanti kita akan wujudkan Akademi Budaya di Sabah.

“Di bawah kerajaan baharu, kita akan ambil perhatian berhubung perkara ini. Saya sudah berbincang dengan Datuk Mohamaddin Ketapi supaya ada satu kompleks budaya di Sabah ini,” jelasnya. –SabahNewsToday