Pilih Bahasa

PERBICARAAN KESAHIHAN KEPUTUSAN PILIHANRAYA PARLIMEN SIPITANG MULA 8 APRIL DEPAN

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Petisyen Pilihanraya calon Parti Warisan Sabah, Noor Hayaty Mustapha yang mencabar kesahihan keputusan pilihanraya parlimen Sipitang pada PRU14 lepas akan dibicarakan bermula 8 April depan.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuching, Azhahari Kamal Ramli turut menetapkan 32 hari iaitu 8 – 12 April, 17-28 Jun, 1-12 Julai dan 23-31 Julai untuk mendengar petisyen tersebut.

Dalam petisyen itu, Noor Hayaty telah menamakan calon Barisan Nasional (BN) Yamani Hafez Musa sebagai Responden Pertama, Pegawai Pilihanraya Sipitang dan Suruhanjaya Pilihanraya masing-masing sebagai Responden kedua dan ketiga.

Noor Hayaty diwakili oleh Chung Jiun Dau, Melanie Tann Mei Yan dan Mohammed Fareez Mohammed Salleh manakala mewakili Yamani ialah Rizwandean Borhan dan Azhier Farhan Arisin.

Terdahulu, Mahkamah Pilihanraya telah menolak petisyen tersebut pada Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, pada 18 Februari tahun ini, Mahkamah Persekutuan menerima rayuan Noor Hayaty dan mengarahkan Petisyen Pilihanraya tersebut dikembalikan kepada Mahkamah Pilihanraya di sini untuk dibicarakan dihadapan hakim baharu.

Noor Hayaty memohon deklarasi mahkamah bahawa keputusan pilihanraya bagi kerusi Parlimen Sipitang pada 9 Mei tahun lalu yang dimenangi oleh Yamani yang juga adalah anak kepada bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman sebagai batal dan tidak sah.

Yamani menewaskan pencabar terdekat Noor Hayaty dengan majoriti 852 undi. SabahNewsToday