Pilih Bahasa

Pergerakan Belia dan Beliawanis Bersatu ditubuhkan untuk menarik pengundi berusia 18 tahun sertai PBS

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) akan mewujudkan Pergerakan Belia dan Beliawanis Bersatu dalam usaha untuk menarik minat pengundi baru, terutamanya golongan lepasan sekolah.

Presidennya Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata penubuhan pergerakan baru itu sejajar dengan keputusan kerajaan untuk menurunkan umur mengundi dari 21 ke 18 tahun baru- baru ini. 

Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PBS semalam. Gambar SNT/Ihsan PBS

“Kami telah mengadakan mesyuarat semalam (Jumaat) dan Majlis Tertinggi parti meluluskan penubuhan Pergerakan Belia Dan Beliawanis Bersatu yang dibuka kepada mereka berumur di antara 18 hingga 40 tahun.

“Pergerakan itu akan beroperasi secara berasingan di bawah sayap Pemuda dan Wanita parti,” katanya.

Ongkili menjelaskan bahawa tumpuan program ini adalah untuk menanamkan kesedaran dan pemahaman ahli-ahli pergerakan mengenai peranan dalam politik dan hak demokrasi.

“Pergerakan itu juga akan membantu dalam mendaftarkan pengundi baru, selain menapis nama- nama yang tidak layak dan mencurigakan dalam senarai daftar pemilih memandangkan pindaan perlembagaan baru turut meluluskan pendaftaran pengundi secara automatik,” jelasnya.

Mesyuarat Majlis Tertinggi PBS sedang berlangsung. Gambar SNT/Ihsan PBS

PBS baru-baru ini telah memberi amaran bahawa pendaftaran pengundi secara automatik akan mencemarkan proses daftar pemilih Sabah disebabkan kewujudan kebanjiran warga asing di negeri ini.

“Kami berharap melalui pembentukan pergerakan baharu ini, PBS akan menyumbang untuk membantu pemantauan berterusan dan membersihkan daftar pemilih di Sabah,” katanya.-SabahNewsToday