Pilih Bahasa

PERGOLAKAN DI SELATAN FILIPINA: MALAYSIA KEKANG KEMASUKAN RAKYAT ASING BERAMAI-RAMAI KE SABAH

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Mohd Azis (tengah, barisan belakang) bersama anak-anak yatim dan golongan OKU yang juga penghuni Rumah Bakti Harapan. – Gambar SNT / Ehsan Parlimen Sepanggar

INANAM: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman telah mengarahkan pihak berkuasa di negeri ini untuk memperketatkan kawalan keselamatan negara khususnya di Pantai Timur Sabah ekoran pergolakan terbaharu di Selatan Filipina, semalam.

Mohd Azis berkata langkah meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan negara penting bagi mengekang kemasukan rakyat asing secara beramai-ramai yang melarikan diri akibat pergolakan yang berlaku di negara mereka.

Mohd Azis (tengah) melayani kanak-kanak Rumah Bakti Harapan yang dibawa membeli belah sempeha Tahun Baharu Cina di Survey Inanam. – Gambar SNT / Ehsan Parlimen Sepanggar

“Saya telah menghubungi Ketua Pengarah Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) (Datuk Hazani Ghazali), Pesuruhjaya Polis Sabah (Datuk Omar Mammah) serta kesemua ketua-ketua agensi pihak berkuasa untuk mempertingkatkan kawalan mereka di pintu masuk dan perairan negara.

“Saya tidak mahu insiden 1972 berulang disebabkan peperangan di negara jiran kita, kemasukan pelarian ke negara kita akan berlaku. Justeru saya telah meminta untuk diperketatkan perairan kita. Bukan kita kejam tapi ini masalah itu berlaku di negara mereka.

Mohd Azis (tengah) membantu salah seorang penghuni Rumah Bakti Harapan mencuba pakaian. – Gambar SNT / Ehsan Parlimen Sepanggar

“Kalau pelarian datang ke negara kita… kita juga akan ada masalah. Kita tidak mahu masalah yang berlaku di negara mereka melepas masuk ke negara ini sebab kita sudah ada masalah pendatang tanpa izin cukup banyak jadi kita tidak mahu ia bertambah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan yang diambil oleh kerajaan Malaysia disebabkan pertempuran yang berlaku di antara tentera kerajaan Filipina dan militan Abu Sayyaf di sebuah pulau terpencil di negara itu kelmarin.

Mohd Azis (kiri) turut membantu seorang penghuni Rumah Bakti Harapan memilih kasut sesuai untuk dipakai. – Gambar SNT / Ehsan Parlimen Sepanggar

Terdahulu Mohd Azis bersama ahli Jelajah Skuad (Jelas) Parlimen Sepanggar hadir dalam program Meraikan Anak-anak Yatim dan orang kurang upaya (OKU) Rumah Bakti Harapan Inanam di pusat beli belah Survey Inanam sempena Tahun Baharu Cina.

Sebanyak 23 anak-anak yatim dan golongan OKU dibawa membeli belah di Survey Inanam anjuran Pusat Khidmat Pejabat Parlimen Sepanggar.

Dalam pada itu, Mohd Azis yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata semua agensi berkaitan termasuk angkatan tentera telah dihubungi untuk mengambil tindakan segera melindungi keselamatan negara. – SabahNewsToday