Pilih Bahasa

Perincian cadangan pindaan Ordinan Interprestasi Anak Negeri masih diteliti

Ewon (empat dari kana) menerima cenderahati daripada Persatuan Sino KDM Sabah Datuk Johnny Goh. – Gambar SNT/Ihsan KPLB Sabah

KOTA KINABALU: Perincian lanjut daripada Kementerian Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri mengenai cadangan pindaan ke atas Ordinan Interpretasi (Definasi Anak Negeri) Sabah masih diteliti.

Sehubungan itu Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Ewon Benedick berharap agar ahli-ahli Persatuan Sino Kadazandusun Murut (Sino KDM) Sabah dapat bersabar dan menunggu perincian itu.

Beliau berkata, buat masa ini Kabinet negeri masih mengekalkan kedudukan “status quo” ordinan tersebut sehingga kementerian berkenaan memberikan perincian lanjut.

Ewon (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada Arin Puang dari Ranau yang dinobatkan sebagai Raani Tavanus Sino KDM Sabah 2019. – Gambar SNT/ Ihsan KPLB Sabah

“Sebelum ini pemimpin Persatuan Sino mengunjungi dan menyampaikan memorandum berkaitan isu status Anak Negeri mereka kepada saya. 

“Pada masa yang sama, semasa watikah pelantikan ketua-ketua adat dikeluarkan, terdapat permintaan daripada suku masyarakat Jawa dan Bugis untuk dilantik ke jawatan tersebut.

“Bagaimanapun, oleh kerana ia melibatkan kedudukan Ordinan Interpretasi Anak Negeri Sabah maka Kabinet memutuskan agar Kementerian Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri memperincikan syor pindaan tersebut dan kita mengekalkan kedudukan `status quo’ definasi tersebut pada masa ini.

“Saya sebenarnya mahu menggunakan platform Kabinet untuk membangkitkan isu yang dibangkitkan oleh Persatuan Sino tetapi perbincangan mengenainya ditangguhkan, maka saya yakin Kementerian Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri akan memperincikan kertas Kabinet yang berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Koubasanan dan Raani Tavanus Sempena Hari Sino Sabah, di sini semalam.

Ewon (tengah) memalu gong sebagai simbolik perasmian Pesta Koubasanan dan Raani Tavanus Sempena Hari Sino Sabah. – Gambar SNT/Ihsan KPLB Sabah

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata beliau gembira kerana pihak persatuan juga telah mengadakan perbincangan dengan Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Jannie Lasimbang mengenai isu-isu yang menjadi keprihatinan mereka.

Secara peribadi, Ewon berpendapat masyarakat Sino KDM telah hidup sebagai masyarakat Anak Negeri kerana mengamalkan kebudayaan, bahasa dan adat resam bersama-sama dengan komuniti Anak Negeri di kampung mereka, iaitu Kadazan, Dusun dan Murut.

“Pada saya, mereka sebenarnya tidak perlu memohon mendapatkan status Anak Negeri. Saya juga bersetuju supaya nama bangsa `Sino’ dalam surat beranak dikekalkan kerana ia menunjukkan identiti komuniti peranakan di Sabah,” katanya.

Pembekuan Sijil Anak Negeri pada 1982 oleh Kerajaan Negeri pada ketika itu telah menghambat banyak masyarakat Sino di Sabah sehingga menyebabkan kesukaran mereka untuk mewarisi harta pusaka seperti tanah anak negeri dan keistimewaan anak negeri yang lain.

Ewon ketika ditemui pemberita pada Pesta Koubasanan dan Raani Tavanus Sempena Hari Sino Sabah. – Gambar SNT/Ihsan KPLB Sabah

Ewon berkata pihak Persatuan Sino KDM boleh mendapatkan penghakiman mahkamah sekiranya mereka merasakan pembekuan Sijil Anak Negeri dan had status kepada tiga generasi telah menghambat mereka untuk tempoh begitu lama dan juga merasakan kehilangan identiti bangsa.

“Ini adalah pandangan peribadi saya. Bukan pandangan Kabinet, kementerian dan parti saya. Saya mengemukakan pandangan ini atas kapasiti sebagai warganegara yang berketurunan Sino,” katanya.

Ewon mengambil contoh tindakan sekumpulan individu di Semenanjung yang memfailkan permohonan di mahkamah untuk mencabar kedudukan sekolah vernakular.

“Saya berpandangan secara peribadi bahawa masyarakat Sino juga boleh memfailkan permohonan di mahkamah untuk mendapatkan penghakiman mengenai status anak negeri mereka dan juga penggunaan status Anak Negeri yang dihadkan kepada tiga generasi sahaja,” katanya.

Apapun, Ewon yakin kerajaan negeri sedang meneliti penambahbaikan urustadbir berkaitan masyarakat Anak Negeri di Sabah termasuk undang-undang berkaitan masyarakat itu.

Ewon bergambar bersama ahli Persatuan Sino KDM. – Gambar SNT/Ihsan KPLB Sabah

“Sebab itu Ketua Menteri mewujudkan kementerian baru, iaitu Kementerian Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri. Inilah peranan dan cabaran besar kementerian tersebut, iaitu antara lainnya melihat ordinan definasi anak negeri tersebut.

“Ketua Menteri sentiasa menyatakan bahawa beliau adalah Ketua Menteri kepada semua rakyat Sabah. kewujudan kementerian tersebut jelas menunjukkan keprihatinan dan iltizam ikhlas beliau untuk membela masyarakat anak negeri Sabah,” katanya.

Mengenai majlis itu, Ewon berharap masyarakat Sino KDM terus berusaha mengekalkan identiti kebudayaan, bahasa ibunda dan warisan adat serta mengeratkan perpaduan dan keharmonian dalam keluarga besar Sabah. – SabahNewsToday