Pilih Bahasa

Perintah berkurung di ESSZone tidak patut dipandang ringan – Pengarah MCC

SANDAKAN, 2 Ogos (Bernama) — Komuniti terutama yang berhubung dengan maritim seperti nelayan di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone), tidak sepatutnya memandang ringan perintah berkurung manakala operator dengan Permit Pengecualian Perintah Berkurung pula hendaklah tegas dalam mematuhi syarat yang ditetapkan di samping mengambil sikap lebih berjaga-jaga apabila berada di laut.

Pengarah Pusat Memerintah Maritim (MCC) Kapt Pulendren Paramasivam berkata, ini kerana angkatan keselamatan tidak menafikan bahawa penculik kemungkinan sudah berada dalam wilayah Malaysia hanya ‘menunggu mangsa” sahaja.

“Pada ketika anda berada di sana (laut), anda terdedah menjadi mangsa yang hanya menunggu untuk diculik.

“Terdapat ramai pengintip yang akan memberitahu penculik di mana perlu pergi kerana apabila penculik datang, mereka tidak tahu di mana hendak dituju. Mereka perlu ada orang dalam.

“Kami yakin ada tali barut di dalam (Malaysia) dan polis sedang memburu mereka dan telah menangkap sesetengah daripada mereka,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini.

Perintah berkurung antara 6.00 petang hingga 6.00 pagi di kawasan ESSZone, yang merangkumi perairan berdekatan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran, kini dalam fasa ke-118 sehingga 9 Ogos sebelum ia diperbaharui dua minggu lagi, sekiranya tiada keputusan untuk menghentikan perintah berkurung itu.

Bagaimanapun, Permit Pengecualian Perintah Berkurung boleh juga diberikan oleh ketua polis daerah di ESSZone bagi melayakkan operator yang memohon untuk beroperasi di laut semasa waktu-waktu perintah berkurung.

Pulendren beranggapan perintah berkurung tidak sepatutnya dihentikan, namun bersimpati dengan komuniti nelayan yang bergantung hidup dengan pendapatan dari hasil laut.

“Mereka adalah kumpulan (nelayan) yang mudah menjadi sasaran. Sebaik anda berada di laut, anda berada dalam risiko. Sebaik anda hilang dengan tiba-tiba, anda tidak akan dapat ditemui kerana terdapat banyak pulau di sekitar,” katanya.

Pulendren berkata, isu keselamatan melanda Sabah terutama di pantai timur, berikutan negeri ini terdedah kepada laut yang luas dari Kudat di utara hingga ke Tawau di selatan membabitkan 1,733 km dengan 151 pulau.

Sesetengah pulau berkenaan tidak berpenghuni, hingga mungkin menjadi tumpuan penjenayahan, tambah beliau.

“Tetapi dengan keberadaan kita (pasukan keselamatan), para penculik akan berfikir dua kali kerana peluang mereka berdepan dengan pasukan keselamatan atau lebih buruk lagi, ditembak bagi mempertahankan diri (sekiranya diserang penculik).

“Lagipun, kita mempunyai tentera ditempatkan di pulau dan resort, dan kita kerap lakukan rondaan,” katanya.

Pulendren juga menyatakan bahawa Malaysia mengadakan kerjasama dengan pasukan keselamatan dari negara jiran seperti Filipina serta Indonesia dengan meronda setiap hari di bawah inisiatif Perjanjian Kerjasama Tiga Hala (TCA).

Beliau juga berkata menerusi TCA, negara anggota kerap berusaha mencari cara baru untuk menampilkan strategi yang lebih baik bagi membendung masalah keselamatan di perairan yang dikongsi oleh ketiga-tiga negara.

— BERNAMA