Pilih Bahasa

Perjalanan tiga jam raih kemenangan

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Johny (lima dari kanan) bersama sebahagian anggota persatuan menunjukkan hadiah kemenangan dalam pertandingan kawad kaki sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Perjalanan lebih tiga jam daripada Pitas membuahkan hasil apabila Persatuan Bangsa Tombunuo Sabah dinobatkan johan pertandingan kawad kategori Persatuan Etnik Sabah sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri 2019.

Ketua Kontingen Persatuan Tombunuo Sabah, Johny Tutulon berkata kemenangan berkenaan adalah satu simbol kejayaan bernilai buat pihaknya selepas bertungkus- lumus membuat persiapan sejak kira-kira sebulan lalu.

“Walapun ini bukan kali pertama kami menyertai acara seumpama ini namun persediaannya tetap rapi dan teliti.

“Kita bukan sahaja memberi fokus kepada pergerakkan kawad tetapi penyadiaan kostum turut diambil agar menampakkan identiti Bangsa Tombunuo itu sendiri.

“Bagaimanapun, kami sampai sehari sebelum hari pertandingan kerana bimbang terdapat sebarang kemungkinan yang boleh menghalang membabitkan dalam sambutan ini,” katanya ketika ditemui media sejurus memperoleh kemenangan.

Johny Tutulon. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Johny berkata kontingen terdiri hampir 40 orang ahli persatuan daripada seluruh negeri.

Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri tahun ini disertai 172 kontingen membabitkan kira-kira 8,500 peserta dalam beberapa kategori seperti sekolah, institut pengajian tinggi awam dan swasta, badan bukan kerajaan dan persatuan etnik Sabah.

Berlangsung di dataran bandaraya Jalan Tun Fuad Stephens, Lebih 10,000 pengunjung membanjiri persekitaran tapak sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri pada tahun ini.

Acara berkenaan turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Isteri, Toh Puan  Norlidah RM Jasni.

Yang turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong, Datuk Christina Liew dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Sambutan Hari Kebangsaan berkenaan turut diserikan dengan persembahan koir daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Puisi Khas Hari Kebangsaan dan persembahan khas daripada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah. – SabahNews Today