Pilih Bahasa

Perjelas isu kelewatan projek Sogip: Matbali

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kerajaan diminta menjelaskan kelewatan menyiapkan projek di Taman Perindustrian Mi­nyak dan Gas Sipitang (Sogip).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lumadan, Matbali Musah berkata kelewatan projek itu secara langsung memberikan kesan kepada peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.

Matbali Musa. Gambar Fail SNT

“Sogip sepatutnya diberikan keutamaan untuk disiapkan kerana banyak faedah yang dapat dinikmati oleh rakyat Sabah memandangkan ia adalah projek mega yang dapat memberikan banyak peluang pekerjaan kepada belia di Parlimen Sipitang.

“Setelah sekian lama menantikan projek yang boleh membawa manfaat kepada semua, projek ini menimbulkan keterujaan kepada semua terutama penduduk di Sipitang, justeru apabila projek ini masih belum siap rakyat Sipitang dan Lumadan agak kecewa sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan usul ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Sabah pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Dalam perbahasan itu Matbali turut menyentuh beberapa isu seperti masalah jalan kampung yang perlu diperbaiki serta masalah air yang dihadapi oleh penduduk di beberapa buah kampung di Sipitang.

Antara kampung tersebut ialah Kampung Suasa, Lago, Bangkalalak, Kangsa, Berumbai, Bintuka dan Padas Damit.

Beliau juga menggesa kerajaan membela nasib pekerja kontrak syarikat-syarikat konsesi dan Jabatan Air Negeri Sabah yang telah ditamatkan kontrak mereka dengan mengotakan janji untuk menyerapkan kesemua kakitangan berkenaan dengan gaji dan pemberian faerah lain.

“Terdapat aduan yang kami terima bekas kakitangan syarikat konsesi itu mengadu sehingga hari ini masih belum ada seorang pun daripada 1,335 pekerja itu diserapkan sebagai kakitangan jabatan.

“Jawatan yang ditawarkan tidak sama dengan yang dijanjikan apabila mereka hanya menerima surat pelantikan sebagai pekerja sementara/harian dan gaji mereka masih tertunggak sejak Januari.

“Menurut mereka aduan telah disampaikan kepada pihak jabatan tetapi alasan yang diberikan adalah masalah berkenaan berpunca di Jabatan Bendahari,” katanya.

Sehubungan itu katanya kerajaan wajar memandang serius perkara ini dan mencari jalan penyelesaian terbaik agar kehidupan pekerja berkenaan tidak terjejas akibat kelemahan pihak kementerian dan jabatan menangani masalah itu. – SabahNewsToday