Pilih Bahasa

Perkahwinan kanak-kanak beri kesan psikologi dan fizikal

RANAU:  Masih terdapat  segelintir masyarakat di negeri ini yang mengahwinkan anak mereka yang masih dibawah umur 18 tahun, kata Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Norazlinah Arif.

Katanya meskipun undang-undang memberikan peruntukan perkahwinan, namun terdapat sesetengah masyarakat melaksanakan perkahwinan tanpa melihat batasan had umur seseorang kanak-kanak.

Norazlinah Arif. Gambar SNT/Ihsan JHEWA

Beliau berkata perkahwinan antara lelaki dan perempuan dibawah 18 tahun, memberi cabaran serta tekanan psikologi dan fizikal yang merangkumi pendidikan, kesihatan, ekonomi, pembuat keputusan dan jenayah terhadap kanak-kanak.

“Keadaan seperti ini boleh menjadi pencetus kepada masalah sosial dan moral kanak-kanak. Contohnya, kanak-kanak tersebut tidak dapat meneruskan pendidikan. Tidak mempunyai sumber kewangan, memikul beban kehidupan berkeluarga seawal usia di bawah umur.

“Selain kesan kepada bayi yang dilahirkan dari segi penjagaan, kebajikan dan lain-lain,” katanya ketika merasmikan Program Kesedaran Isu Perkahwinan Kanak-Kanak di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Sugut, hari ini.

Norazlinah (kanan) menerima cenderamata daripada Masturah di majlis itu. Gambar SNT/Ihsan JHEWA

Program itu dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Sabah (JHEWA). Turut hadir di majlis itu ialah Pengarah JHEWA, Puan Masturah Haji Jamrah.

Norazlinah berkata adalah menjadi tanggungjawab masyarakat untuk memikirkan masa depan kanak-kanak kerana mereka adalah tunjang harapan negara.

Justeru katanya ibu bapa dan juga masyarakat perlu memainkan peranan penting dengan memberikan pendidikan awal yang secukupnya bagi mengelakkan kes seumpama ini (perkahwinan kanak-kanak dibawah umur)  berlaku di Sabah khasnya dan Malaysia amnya.

Menurutnya pihak guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga perlu memainkan peranan mereka dengan memberikan laporan kepada pihak yang berkaitan, sekiranya terdapat pelajar berhenti sekolah awal kerana berkahwin.

Sebahagian peserta Program Kesedaran Isu Perkahwinan Kanak-Kanak. Gambar SNT/Ihsan JHEWA

“Semua lapisan masyarakat, termasuk badan kerajaan, badan bukan kerajaan, pemimpin masyarakat dan rakyat secara amnya juga perlu bersama-sama memainkan peranan, mengamalkan sikap prihatin dan ambil tahu agar masalah akibat daripada perkahwinan kanak-kanak tidak berlaku,” tegasnya.

Norazlinah berkata masyarakat sendiri perlu mengetahui dan memahami isu serta cabaran perkahwinan kanak-kanak.

Serentak itu katanya penganjuran Program Kesedaran Isu Perkahwinan Kanak-Kanak amat kena pada tempat dan tepat pada masanya dalam mencetuskan kesedaran dan pengetahuan kepada kanak-kanak, keluarga dan masyarakat mengenai isu perkahwinan kanak-kanak, khususnya di negeri Sabah.

“Melalui program ini juga, kita akan memberikan panduan dan kemahiran dalam memahami psikologi, personaliti dan perkahwinan, undang-undang terhadap perkahwinan kanak-kanak, pendidikan kehidupan berkeluarga dan kesihatan reproduktif serta program bimbingan dan kaunseling kepada kumpulan sasar,” tegasnya.

Norazlinah berharap program kesedaran itu dapat dilaksanakan secara berterusan melibatkan daerah-daerah lain di seluruh Sabah, khususnya di kawasan pedalaman yang masyarakatnya jarang mendapat peluang menghadiri program kesedaran seumpama itu.

Beliau turut menyeru para peserta program itu terutama pelajar dan ibu bapa agar memainkan peranan dalam menyebarkan ilmu dan maklumat yang diperolehi kepada rakan-rakan dan keluarga terdekat.-SabahNewsToday