Pilih Bahasa

Perkasa penggunaan bahasa tempatan

Oleh Alfred Petrus

Presiden Serumpun Dee Layun (kiri) menyampaikan cendera kenangan kepada Jo-Anna. – Gambar SNT/Alfred Petrus

TUARAN: Mempromosi pembelajaran dan penggunaan bahasa-bahasa ibunda pada masa kini hatus diberi perhatian yang tinggi.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Jo-Anna Sue Henley Rampas berkata usaha tersebut perlu diperkasakan kerana penggunaan bahasa ibunda dalam kalangan masyarakat itu sendiri sangat membimbangkan.

“Belia orang asal di negeri ini berbangga menyatakan bangsa mereka adalah Kadazandusun atau Murut (KDM). Tetapi bila diminta untuk bertutur dalam bahasa ibunda masing-masing, sangat menyedihkan kerana tidak ramai yang tahu menuturkannya.

“Saya perasan bahawa sesetengah ibu bapa menggunakan bahasa ibunda mereka di rumah, tetapi anak-anak mereka membalas dalam bahasa Melayu mahupun Inggeris. Ini lagi membimbangkan apabila ia terjadi di luar bandar.

“Saya sangat bertuah apabila perkataan pertama yang keluar dari mulut saya sejak saya kecil adalah perkataan Dusun dan saya hanya belajar bahasa Melayu di bangku sekolah,” katanya.

Jo-Anna (tengah) bergambar bersama peserta bengkel tersebut. – Gambar SNT/Alfred Petrus

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bengkel Bahasa Suang Lotud di Dewan Muhibah Kampung Dungang, hari ini.

Tambahnya bahasa ibunda adalah warisan budaya dari nenel moyang dan ia perlu dipelihara.

Bercakap berkenaan bahasa Lotud, Jo-Anna menyatakan rasa kesedihannya apabila dimaklumkan bahawa kira-kira kurang daripada 10 peratus daripada 20,000 orang suku kaum berkenaan yang bertutur dalam bahasa tersebut.

“Ini lagi mengecewakan apabila saya diberitahu bahawa hanya dua peratus penutur bahasa Lotud yang berumur di bawah 30 tahun,” katanya.

Jelasnya keadaan itu menjadi satu cabaran besar terhadap orang asal seluruh negeri untuk mempertahankan bahasa ibunda masing-masing pupus ditelan zaman.

Menurutnya isu kepupusan bahasa bukan sahaja berlaku di Sabah tetapi ia adalah isu global yang mana Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan 2019 sebagai Tahun Bahasa Pribumi selepas memperoleh statistik kira-kira 600 bahasa seluruh dunia pupus pada Ahad lalu.

Dalam pada itu, beliau menyeru pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan untuk menjalankan bengkel bahasa ibunda. – SabahNewsToday