Pilih Bahasa

PERKESO bantu balu kurangkan beban harian

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Pemergian suami tercinta seperti satu kehilangan sumber kekuatan semangat buat Ruskaidah Zam Zam, 58.

Suaminya Kasim Kastubi, 59, meninggal dunia ketika sedang menunggu waktu berlepas di dalam pesawat tambang murah ke Kuala Lumpur bersama 11 ahli keluarganya bagi menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya, 20 Mac lalu.

Ruskaidah Zam Zam (tiga dari kiri) menerima cek faedah pengurusan jenazah berjumlah RM2,000 yang disampaikan oleh ADUN Merotai, Sarifuddin Hata (empat dari kiri). Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Bagaimanapun, Ruskaidah tidak menyangka Skuad Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Prihatin hari ini hadir ke kediamannya bagi memberi cek faedah pengurusan jenazah berjumlah RM2,000.

“Saya dihubungi oleh PERKESO pagi tadi dan memberitahu pihaknya akan datang ke rumah untuk beri cek faedah pengurusan jenazah untuk arwah suami.

“Pemergian suami saya yang masuk hari ke-16 ini belum terlalu saya rasakan. Tapi saya akan merasa bebannya dan kehilangannya satu hari nanti kerana saya tidak ada sesiapa, saya tidak ada anak,” katanya sebak.

Dia berkata demikian selepas menerima cek yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai, Sarifuddin Hata, di kediamannya, di Taman Ria, di sini petang tadi.

Hadir sama Pengurus PERKESO Tawau, Joseph Emmanuel.

Selain itu, Ruskaidah turut menerima pencen penakat arwah suaminya selama seumur hidup sebanyak RM1,200 setiap bulan bagi mengurangkan beban hariannya.

Katanya, sebelum ini suaminya yang bekerja di salah sebuah syarikat menghantar barangan alat ganti kenderaan disahkan menghidap penyakit kencing manis sejak 2015 dan terpaksa berhenti kerja atas faktor kesihatan.

Bagaimanapun, pihak PERKESO membantu suami isteri berkenaan dengan memberi bantuan RM1,700 setiap bulan.

“Ketika arwah masih hidup, saya menerima bantuan sebanyak RM500 dan suami saya menerima RM1,200 daripada PERKESO.

“Hasil sumbangan PERKESO itulah yang membantu saya dan suami mengurangkan beban membeli ubat-ubatan untuk membersihkan kaki suami saya.

“Saya berterima kasih kepada PERKESO kerana membantu saya hingga kini. Hanya Allah S.W.T sahaja yang dapat membalasnya,” katanya.

Sementara itu, ADUN Merotai, Sarifuddin Hata memuji semangat skuad PERKESO Prihatin yang sentiasa peka terhadap setiap individu yang didapati layak menerima bantuan.

“Saya melihat PERKESO komited dalam menolong keluarga mangsa yang sememangnya layak menerima bantuan.

“Kewujudan skuad ini amat baik kerana ramai yang tidak tahu dan tidak sedar bahawa diri mereka layak menerima bantuan daripada pihak PERKESO,” katanya. – SabahNewsToday