Pilih Bahasa

PERKESO EDAR RISALAH OPS KESAN DI 100 PREMIS PERNIAGAAN DI TAWAU

TAWAU, 8 Mac (Bernama) — Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengunjungi kira-kira 100 premis perniagaan di sini, bagi mengedarkan risalah berkaitan Ops Kesan yang akan dijalankan agensi berkenaan pada 1 April depan.

Pengurus Perkeso Cawangan Tawau, Joseph Immanuel berkata sehingga 31 Mac ini, Perkeso melaksanakan tempoh pemutihan dan memberi peluang kepada majikan tampil secara sukarela ke kaunter agensi itu bagi mendaftarkan perniagaan serta pekerja yang layak mencarum sebelum Ops Kesan dijalankan.

“Mulai 1 April akan datang, Perkeso akan melancarkan Ops Kesan di seluruh negara untuk mengenal pasti dan mengambil tindakan undang-undang ke atas majikan yang belum berdaftar dengan Perkeso,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Semalam, 12 anggota Unit Penguatkuasa Perkeso di sini, melakukan lawatan ke premis perniagaan, dan  mengedar risalah Ops Kesan.

Joseph dalam pada itu berkata pekerja layak didaftarkan terdiri daripada warganegara, penduduk tetap dan sementara serta warga asing.

Selain itu, beliau berkata individu yang bekerja sendiri seperti pemandu teksi, e-hailing seperti Grab termasuk kereta sewa juga boleh mendaftarkan diri sebagai pencarum di pejabat Perkeso berhampiran.

Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Hotline Perkeso di 1-300-22-8000 atau layari laman web rasmi Perkeso di www.perkeso.gov.my.

— BERNAMA