Pilih Bahasa

Perketat kawalan sempadan negara langkah paling berkesan tangani isu PTI

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memberitahu proses pengusiran pendatang tanpa izin (PTI) ke negara asal semenangnya amat kompleks tetapi ia berterusan dilakukan oleh kerajaan negeri hampir setiap bulan.

Menurutnya perkara itu merupakan sebahagian daripada usaha menangani kehadiran PTI di Sabah yang dilakukan kerajaan negeri.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Mohd Shafie berkata selain langkah pengusiran dan penghantaran ke negara asal berterusan yang dibuat menerusi agensi penguatkuasa berkaitan, kerajaan juga sebenarnya perlu memperketatkan kawalan sempadan negara.

“Perketatkan kawalan sempadan agar tidak mudah untuk mereka (PTI) balik ke negara kita kerana ada di antara mereka ini yang masuk semula menggunakan laluan tikus.

“Walaupun kita hantar mereka setiap bulan dan kita beranggapan jumlah mereka di negeri ini meningkat atau kekal, saya berasakan apa penting ialah penguatkuasaan di sempadan haruslah dilakukan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Star-Tambunan) pada sesi Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Terdahulu Dr Jeffrey mencadangkan agar tempoh pemberian Pas Sementara Sabah (PSS) yang bakal diperkenalkan bagi menyeragamkan kepelbagaian dokumen warga asing pada tahun depan tidak melebihi tempoh 12 bulan.

Mohd Shafie berkata jangka masa tiga tahun yang diberikan kepada warga asing yang mempunyai dokumen sah sedia adalah kerana PSS mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti biometrik dan nombor ID unik dan membezakan PSS dengan pas-pas imigresen sedia ada.

“Kita tidak mahu lagi pengeluaran dokumen kepada warga asing dengan mudah berulang seperti IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang dikeluarkan sejak 70-an.

“Oleh itu kita perkenalkan PSS sebagai mekanisme kawalan keberadaan dan pererakan warga asing di Sabah,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Bolkiah Ismail (Warisan-Pitas) sama ada berlaku kesukaran dalam proses penghantaran PTI ke negara asal mereka ekoran pemberhentian perkhidmatan feri dari Sandakan ke Zamboanga, Mohd Shafie berkata beliau telah meminta kelonggaran sementara waktu kepada Kementerian Pengangkutan Persekutuan.

Mohd Shafie menambah buat masa ini kerajaan negeri belum ada kapa; bersesuaian dan mana-mana penghantaran balik rakyat asing perlu mengikut peraturan peringkat antarabangsa.

“Kita tidak mahu berlaku penyeludupan nanti, namun demikian saya telah maklumkan bahawa kalau kita tidak mengunakan bot persendirian pada masa ini dan menunggu bot yang sesuai mungkin akan ambil masa dan kita mempunyai masalah kesesakan di pusat tahanan sementara.

“Bagaimanpun saya yakin Kementerian Pengangkutan akan memberikan kelulusan secepat mungkin sekaligus membolehkan operasi ini kita menyegerakan operasi penghantaran PTI ke negara mereka,” katanya. – SabahNewsToday