Pilih Bahasa

Perkhidmatan imigresen di sempadan Sabah, Sarawak serta operasi keretapi dihadkan: SKN

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah melaksanakan beberapa lagi larangan bagi menangani penularan wabak Covid-19 di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata perkara berkaitan larangan tersebut diputuskan dalam mesyuarat Sabah Covid-19 Command Centre pada hari kelima penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau memberitahu, larangan terbaharu itu berkaitan operasi perkhidmatan imigresen, keretapi dan kilang serta isu gelandangan dan pematuhan PKP di kampung dan kawasan bandar.

“Selaras dengan persetujuan antara Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, maka, kerajaan Sabah telah memutuskan operasi Kompleks Custom Immigration Quarantine and Security (CIQS) Sindumin – Merapok, di sempadan Sabah dan Sarawak bermula pukul 6.00 pagi hingga 8.00 malam berkuat kuasa 22 Mac 2020 (hari ini).

“Kerajaan negeri juga memutuskan untuk mengurangkan kekerapan perkhidmatan operasi Keretapi Negeri Sabah iaitu untuk perkhidmatan yang perlu sahaja,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Berdasarkan jadual baharu yang ditetapkan pada hari ini, operasi perkhidmatan keretapi Kota Kinabalu-Beaufort dan Halogilat-Rayoh diberhentikan sementara.

Bagi operasi yang diteruskan ialah Beaufort-Halogilat mulai pukul 7.50 pagi (pergi/balik) dan 4.30 petang (pergi/balik) dan Rayoh-Tenom pukul 7.50 pagi (pergi/balik) 4.00 petang (pergi/balik).

Dalam pada itu, Safar berkata kerajaan negeri  juga memutuskan agar gelandangan ditempatkan secara sementara di pusat yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan masing-masing.

“Semua Ketua Kampung, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Dalam Bandar hendaklah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan di bawah seliaan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata operasi kilang memproses makanan dan pengangkutan bahan makanan seperti beras, sayur, ikan dan sebagainya untuk kegunaan domestik adalah dibenarkan. – SabahNewsToday