Pilih Bahasa

Perkhidmatan pelayaran pulau ke pulau di Pantai Timur

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Borneo Serenity, sebuah kapal layar mewah yang ditawarkan oleh Lazy Cat International Travel Service Co. Ltd. mampu melonjakkan industri pelancongan di Semporna, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri berkata kapal layar itu menawarkan perkhidmatan pelayaran sehari kepada pelancong melawat pulau-pulau menarik di daerah tersebut.

Kapal layar Borneo Serenity yang terletak di Jeti Marina, Sutera Harbour Resort. – Gambar SNT/Ihsan STB

Menurut beliau lagi Lazy Cat International adalah sebuah syarikat pelancongan dalam talian terkemuka di China.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Lazy Cat Travel atas pelaburan dan kerjasama dengan syarikat tempatan di Sabah.

“Kapal layar ini bakal menawarkan perjalanan sehari ke Semporna dan ia merupakan idea yang baik serta terbaharu dalam usaha mempelbagaikan tawaran perkhidmatan pelancongannya.

“Saya difahamkan syarikat itu akan memulakan operasinya dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya semasa merasmikan majlis pelayaran Serenity Maiden di Jeti Marina, Sutera Harbour Resort di sini semalam.

Christina (tengah) diapit oleh HE Liang (di sebelah kiri) dan Ho memotong reben sebagai simbolik pelayaran sulung Borneo Serenity di Marina Jetty, Sutera Harbour Resort. – Gambar SNT/Ihsan STB

Turut hadir dalam majlis itu ialah Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, HE Liang Caide; Naib Konsul Jeneral Wu Xiaoqing; Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Ken Pan Ying On; Pengurus Besar STB Noredah Othman dan Pengerusi Lazy Cat International Travel Service Co. Ltd, Zhao Jun.

Dibina di China dengan reka bentuk bercirikan Eropah dan kapasiti 50 hingga 60 orang, Borneo Serenity telah siap dua bulan lalu dengan kos sebanyak RM5.99 juta.

Dalam pada itu Christina berkata kerancakan pembangunan sektor pelancongan di Sabah sejak kebelakangan ini sejajar dengan peningkatan kemasukan pelancong dari China yang melawat Sabah setiap tahun.

“Berdasarkan statistik dari STB pada 2018 sahaja, kira-kira 593,623 pelancong China melawat Sabah.

“Setakat ini, kita mempunyai 93 penerbangan dari China ke Kota Kinabalu dan beberapa penerbangan sewa khas sepanjang tahun,” ujarnya.

Menurut Christina lagi Sabah kini menyaksikan ramai pelancong perseorang atau bebas (FIT) yang tidak sabar untuk meneroka negeri itu.

“Ramai di antara mereka ini mungkin pernah datang ke Kota Kinabalu dan kedatangan semula ke Sabah adalah untuk melawat destinasi pelancongan di kawasan pantai timur Sabah,” katanya. – SabahNewsToday