Pilih Bahasa

PERLETAKAN SEMULA PLAK ASAL BATU SUMPAH KENINGAU, TANDA KOMITMEN KERAJAAN PELIHARA ADAT NEGERI SABAH

Oleh Alfred Petrus

Ewon (kiri) menerima cendera kenangan daripada Pengerusi Penganjur Seminar Pelestarian Adat Orang Asal di Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri, Rayner Ebi selepas majlis perasmian seminar berkenaan. -Gambar SNT/Ehsan KPLB

PENAMPANG: Kerajaan negeri bersetuju untuk meletakkan semula plak yang mengandungi ayat asal pada Batu Sumpah Keningau sebagai jaminan Adat Negeri rakyat Sabah terus dihormati dan dipelihara kerajaan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Ewon Benedick berkata, usaha ini juga bagi menjamin dan memberi peringatan kepada masyarakat seluruh negara mengenai jaminan kerajaan Persekutuan terhadap Sabah dalam pembentukan Malaysia.

“Komitmen Kerajaan ini terserlah apabila Batu Sumpah Keningau telah didirikan pada 31 Ogos 1964,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Pelestarian Adat Orang Asal di Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri hari ini.

Ewon ketika ditemui pemberita selepas perasmian Seminar Pelestarian Orang Asal di Ilman, Penampang, pagi tadi. Gambar SNT/Ehsan KPLB

Sementara itu, katanya, komitment itu diserlahkan lagi dengan penerusan dan pemerkasaan institusi Mahkamah Anak Negeri Sabah termasuk penubuhan Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri, pengiktirafan Tanah Anak Negeri dan Tanah Adat dalam urustadbir tanah di Sabah, pemasukan Bahasa Kadazandusun dalam sistem pendidikan negeri serta pengiktirafan sambutan Tadau Kaamatan sebagai acara rasmi Kerajaan.

Selain itu, jelasnya seminar pelestarian Sistem Adat yang dianjurkan oleh generasi Komulakan berkenaan memperingkatkan terhadap tanggungjawab rakyat untuk mempertahan, memperjuang dan memperkasakan Sistem Adat sendiri.

“Perkara berkaitan kepentingan Orang Asal adalah antara tuntutan yang dikemukakan oleh para nasionalis Sabah semasa perundingan penubuhan Persekutuan Malaysia pada awal 1960-an.

“Ianya terkandung dalam perkara ke-12 pada senarai 20 Perkara dan dilaporkan pada perkara ke-29 dan ke-30 dalam Laporan Inter-Governmental Committee Report.

“Malaysia Bill iaitu lampiran mustahak Perjanjian Malaysia memasukkan jaminan berkenaan dengan Protection of Special Interest yang menyentuh secara spesifik berkaitan hak-hak Orang Asal Sabah,” jelasnya.

Tambanya, Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Perlembagaan Negeri Sabah telah memasukkan jaminan berkenaan ke dalam Kedudukan Istimewa Orang Asal Sabah.

Katanya, walaupun ianya tidak menyentuh secara spesifik berkaitan Sistem Adat, tetapi ianya merupakan jaminan penting kepada ketamadunan Orang Asal Sabah. -SabahNewsToday