Pilih Bahasa

PERLU KEBENARAN SAFA, BAWA MASUK ALAT MUZIK, SEPANDUK DALAM STADIUM

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Penggunaan alat muzik berat dan pemaparan sepanduk dalam perlawanan Liga Malaysia di Stadium Likas perlu mendapat kebenaran Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) terlebih dahulu.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Safa, Senior Asisten Komisioner (SAC) Jauteh Dikun yang juga Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Sabah berkata, peraturan itu telah diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Safa, Selasa lalu.

SAC Jauteh Dikun. Gambar Fail SNT

“Peraturan ini berkuatkuasa bermula perlawanan Liga Premier Sabah menentang Terengganu FC II (TFC II) Sabtu ini,” kata Jauteh ketika ditemui di sini pada Khamis.

Alat muzik yang dilarang dibawa masuk tanpa kebenaran termasuklah gong, gendang dan kompang.

“Memang tidak dibenarkan dibawa masuk adalah sebarang senjata termasuk mercun dan suar atau benda yang boleh dijadikan senjata seperti payung, botol minuman dan minuman tin.

“Kami akan memperketatkan kawalan keselamatan bagi menguatkuasakan peraturan ini. Sehubungan dengan itu kami berharap penonton atau kelab penyokong memberi kerjasama dalam hal ini,” kata Jauteh.

Beliau berkata, peraturan itu adalah bagi memastikan kemeriahan menyaksikan perlawanan Liga Malaysia apabila Sabah menjadi tuan rumah tidak dicemari dengan perkara-perkara yang tidak diingini.

“Safa dan pasukan Sabah sememangnya menghargai dan perlukan sokongan penyokong. Sebab itu kita mahu penyokong datang untuk menyokong pasukan dan bukannya menimbulkan kekecohan termasuk memaparkan sepanduk-sepanduk bersifat provokasi.

“Kalau mahu menggunakan alat muzik atau ada sepanduk yang mahu dipaparkan, perlu kebenaran daripada Safa terlebih dahulu,” katanya.

Sambil itu, Malaysian Football League (MFL) juga tidak membenarkan sebarang siaran langsung dari mana-mana organisasi atau individu yang tidak diberi hak oleh badan pentadbir liga tanah air berkenaan.

Oleh itu, sebarang peralatan kamera atau video untuk tujuan membuat siaran langsung juga tidak dibenarkan dibawa masuk kecuali mereka yang telah diberi hak dan mempunyai pas dari MFL.-SabahNewsToday