Pilih Bahasa

Perlu kembalikan kuasa kepada rakyat – Bung Moktar

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Datuk Bung Moktar Radin. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Ramai mengetahui beliau seorang ahli politik yang lantang bersuara dalam pelbagai isu terutama berkaitan politik semasa di Sabah atau negara.

Pengerusi Umno Sabah, Datuk Bung Moktar Radin ini sebetulnya, mempunyai pendekatan tersendiri apabila berbicara soal politik, sama ada senang atau tidak dengan kenyataan beliau, itu terpulang dengan penerimaan masing-masing.

Berpeluang bertemu dengan beliau baru-baru ini, banyak juga cerita Datuk Bung Moktar dalam melontarkan pandangannya terhadap keadaan politik semasa dan Pilihan Raya Umum ke-15 yang menurut beliau kemungkinan diadakan lebih awal.

(Temuramah ini diadakan sebelum pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal)

“Sehingga hari ini rakyat sebetulnya ingin tahu perkembangan semasa politik Sabah dan banyak telah diwar-warkan, dibuat andaian oleh sama ada penganalisa politik, rakyat biasa melalui kedai kopi, kaki lima.. macam-macam kita dengar.

“Bagaimanapun, saya tidak berbicara dalam konteks Umno Sabah. Umno Sabah hingga hari ini kita makin hari makin bertambah kuat. Kita telah melakukan pelbagai usaha untuk memperkukuhkan Umno Sabah dan kita telah menyediakan jentera untuk berhadapan sebarang kemungkinan. Hanya ada peringkat terakhir yang perlu kita lakukan iaitu memperkemaskan jentera keseluruhan di Sabah.

“Ini akan kita lakukan, Insya Allah dalam seminggu dua ini akan selesailah semuanya. Kita juga telah menggerakkan semua di cawangan sebelum Covid-19 diisytiharkan untuk mereka bergerak dan mengenal pasti pengundi-pengundi Umno itu sendiri.

“Jadi, dalam politk hari ini memang sukar diramal sebab sebelum perubahan kerajaan Pakata Harapan (PH), Umno jelas bahawa kita akan bertanding bersama-sama dengan Barisan Nasional (BN) dan parti-parti yang tidak sehaluan dengan PH dan Warisan.

“Tetapi selepas berlaku perubahan politik di peringkat nasional, PH jatuh, Perikatan Nasional (PN) masuk … jadi nampak perubahan politik itu makin berlaku.

“Pendapat saya, semuanya bergantung dengan bagaimana kita tangani isu-isu di antara parti. Yang penting matlamat kita tetap satu, iaitu untuk memerintah Sabah dan menggembalikan kuasa-kuasa kepada rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

“Rakyat sudah boleh menilai iaitu sejak dua tahun Warisan memerintah. Walaupun Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyatakan bahawa Warisan adalah mesra rakyat, membangun rakyat, peduli rakyat, tapi rakyat ini bukan boleh diperkotak-katikkan lagi.

“Rakyat sudah boleh menilai janji-janji pilihan raya, manifesto, ucapan dan sebab itu saya kata dalam pilihan raya tidak perlu kita bercakap banyak, kita ulang ucapan mereka, biar rakyat yang dengar sendiri.

“Contohnya, rakyat ingin tahu di mana hala tuju Warisan untuk Sabah secara jangka panjang, pendek dan sederhana. Di mana hala tuju Warisan … lebih 5,000 buah rumah terbakar, kenapa tidak buat rumah … apa masalahnya?

“Baru-baru ini Ketua Menteri ada menyatakan ada Sabah New Deal untuk Sabah, kita tunggu. Tidak ada juga yang orang kata yang boleh menarik hati rakyat dan peliknya RM20 juta saya tengok untuk latihan semula pekerja-pekerja yang hilang pekerjaan … jadi rakyat mahu tanya ke mana selepas latihan ini.

“Adakah sudah peluang pekerjaan itu diwujudkan dan kita pun tanya berapa banyak sudah investor luar yang membuat pelaburan di Sabah sehingga boleh mewujudkan 600,000 peluang pekerjaan untuk anak Sabah … kalau ada ini perlu diperjelaskan.

“Kalau tidak ada saya rasa itu yang rakyat melihat ia hanya retorik semata-mata iaitu untuk mengelak supaya kerajaan Warisan tidak runtuh dalam serta merta yang mana Adun-Adun Warisan dilihat cenderung untuk meninggalkan Warisan.

“Pertama, sebab saya lihat pemimpin Warisan telah gagal membangun negeri Sabah dan gagal membawa anjakan kepada rakyat bersama dan mereka telah dimakan oleh janji-janji mereka sendiri. Jadi kalau ini berterusan, wakil-wakil rakyat dalam Warisan melihat bahawa mereka bukan lagi wakil rakyat yang berfungsi, tidak boleh membangun di kawasan mereka tetapi dilihat oleh rakyat sebagai wakil rakyat yang lemah sebab tidak ada apa-apa pembangunan di bawa di semua peringkat.

“Dua Adun yang melompat pun tidak ada apa-apa tiada perubahan langsung.. jadi janji pilihan raya merubah tetapi bukan merubah kepada kebaikan kepada yang tidak baik dan ekonomi Sabah memang tidak baik pada awalnya ditambah pula dengan serangan Covid-19 … dalam keadaan dua tiga bulan, maka yang dulu ada kerja sudah hilang kerja. yang dulu boleh berniaga kecil-kecilan sudah tidak boleh berniaga.

“Hotel diseluruh Sabah ini tutup 104 buah hotel yang akan ditutup termasuk hotel empat bintang di Sandakan dan ini akan memberikan cabaran kepada Sabah dan khususnya kepada Warisan. Tambahan pula Warisan dilihat tidak memihak kepada kerajaan Persekutuan dan ini akan menimbulkan pelbagai polemik.

“Sebab sebuah kerajaan negeri, apabila tidak bekerjasama dengan Persekutuan, maka negeri itu tidak akan dapat menikmati limpahan ekonomi dan pembangan seimbang. Contohnya, Kelantan berpuluh tahun bertahan dan akhirnya Kelantan salah sebuah negeri yang amat tertinggal sehingga hari ini.

“Di Sabah akan berlaku sebegini walaupun mungkin Ketua Menteri ada kesungguhan ada keinginan untuk membangunkan Sabah itu tetapi Ketua Menteri seorang diri, tidak didokong oleh pemimpin-pemimpin kanan lain, maka dilihat kerajaan itu lemah dan lumpuh.

“Sebab itu, negeri Sabah pada hari ini walaupun kita melihat ada kesungguhan dari Ketua Menteri, tetapi ia tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya sebab kebanyakan pemimpin-pemimpin dalam Warisan ini tidak mempunyai hala tuju dan tidak tahu apa yang perlu mereka laksanakan untuk membangunkan Sabah dan rakyat.

“Ketua Menteri berniat baik, tetapi pemimpin-pemimpin di perantaraan itu yang pertama, tidak faham tugasan mereka. Kedua, mungkin mereka tidak ada komitmen sehingga menyebabkan bantuan Covid-19 kepada rakyat itu tidak sampai 100 peratus.

“Ini pun sebetulnya satu kegagalan yang paling besar yang harus dilihat oleh kerajaan Warisan supaya ketirisan itu boleh dielakkan. Jadi, New Deal ini, semua orang ada keraguan dan kebimbingan … betulkah New Deal ini … betul-betul berterusan atau macam dulu juga,” katanya.

Apabila diminta mengulas kenyataan beliau bahawa mungkinkah selepas pembentangan Bajet di Parlimen, PRU15 diadakan lebih awal, Bung Moktar tidak menolak kemungkinan itu.

“Dijangka tahun ini akan ada PRU15 atau sekurang-kurangnya mungkin awal tahun depan. Ini berbagai-bagai faktor yang mendorong ke arah PRU15.

“Pertama, mungkin keadaan politik di Semenanjung yang memang tegang. Kita faham PN diwujudkan dengan majoriti tipis dan biasanya di mana-mana kerajaan apabila majoriti tipis sebegini. Memang sukar untuk melaksanakan dasar-dasar tertentu dan sentiasa ada kekangan dan halangan daripada pihak lawan.

“Jadi the best way untuk perdana menteri untuk mendapat mandat baharu supaya rakyat boleh memberi kerajaan baharu yang cukup stabil dan mantap dan boleh membangun rakyat dan negara itu sendiri.

“Alhamdulillah, saya nampak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berjaya mengangkat imej beliau apabila beliau berjaya membawa satu pasukan berhadapan dengan Covid-19 dan sama ada kita suda atau tidak suka tetapi rating PM ketika itu pada tahap yang tinggi,” ujarnya.

Bung Moktar memberitahu, Muhyiddin dan pasukannya mencari jalan untuk membantu rakyat, mengurangkan kesan serangan Covid-19 dan sehingga seluruh dunia termasuk WHO dan PBB mengiktiraf Malaysia dan meletakkan Malaysia negara keempat yang terbaik dalam menangani Covid-19 dan disenangi oleh rakyat. – SabahNewsToday