Pilih Bahasa

PERMOHONAN RM35 JUTA BANTUAN KHAS KEPADA BADAN KEAGAMAAN BUKAN ISLAM DAN SEKOLAH MUBALIGH KINI DIBUKA

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengumumkan peruntukan sebanyak RM35 juta bagi bantuan kewangan kepada badan keagamaan bukan Islam serta sekolah mubaligh di negeri ini.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Kenny Chua (tiga dari kanan) dan wakil Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Tham Yun Fook (dua dari kanan) menunjukkan borang permohonan bantuan khas kewangan badan keagamaan dan sekolah bukan Islam pada sidang media di Pejabat Pembantu Menteri, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS). Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

Pembantu Menteri Kewangan, Kenny Chua berkata menerusi jumlah itu, sebanyak RM20 juta disediakan kepada badan keagamaan manakala RM15 juta untuk sekolah mubaligh.

Beliau berkata permohonan untuk bantuan kewangan terbabit sudah mula dibuka sejak Januari lalu dan tarikh akhir permohonan serta penghantaran borang pada 30 April hadapan.

Kenny berkata pemberian bantuan itu adalah bertujuan bagi pembaikan dan pembangunan sekolah-sekolah mubaligh, tokong, kuil dan gereja di seluruh negeri.

“Tahun ini juga terdapat pertambahan sebanyak RM3 juta berbanding RM12 juta pada tahun sebelumnya untuk bantuan kepada sekolah mubaligh. Hal ini jelas memperlihatkan keprihatinan kerajaan negeri kepada bidang pendidikan terutamanya untuk sekolah jenis berkenaan.

“Setakat ini, kita mempunyai kira-kira 60 sekolah mubaligh terdiri daripada sekolah rendah serta menengah yang layak memohon bantuan ini

“Selain itu, negeri ini turut terdapat kira-kira 122 tokong serta 15 gereja besar masing-masing dilihat memerlukan pembaikan bangunan sedia ada,” katanya ketika mengumumkan bantuan kewangan kerajaan negeri kepada badan keagamaan bukan Islam dan sekolah mubaligh bagi tahun 2019, di PPNS dekat sini hari ini.

Sementara itu, Kenny mengingatkan semua sekolah mahupun badan keagamaan bukan Islam di Sabah yang memerlukan bantuan agar mengambil peluang diberikan itu selain mengisi borang permohonan secepat mungkin berikutan bantuan khas terbabit adalah terhad.

Borang permohonan boleh didapatkan di bahagian Belanjawan Kementerian Kewangan dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS).-SabahNews Today