Pilih Bahasa

Perpaduan rakyat pacu pembangunan negeri

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Perpaduan dalam kalangan rakyat Sabah mampu memacu pembangunan negeri ke arah lebih maju.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong berkata jika perpaduan sedia ada diperkukuhkan lagi, ia mampu memudahkan kerajaan melaksanakan sebarang agenda pembangunan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (empat dari kiri) bersama Timbalan Ketua Menteri; Datuk Jaujan Sambakong (kanan) dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (tiga dari kiri) serta para tetamu di Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Menteri. Gambar SNT/Chris Maskilone

“Kesatuan rakyat dalam negeri ini penting kepada kerajaan, kerana apabila kita bersatu-padu, kerajaan mampu melaksanakan segala perancangan serta agenda pembangunan.

“Kesemua pembangunan yang dilaksanakan ini adalah untuk kepentingan rakyat Sabah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, di Rumah Yayasan Sabah (RYS), hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata setelah kerajaan baharu memerintah selama setahun, keyakinan rakyat terhadap kepimpinan baharu semakin meningkat.

Tambahnya semua perayaan yang diraikan di Sabah adalah penting sebagai satu platform masyarakat bersama-sama tidak kira latar belakang kaum, agama dan bangsa untuk bergembira.

“Hari raya seumpamanya walaupun ia diraikan oleh masyarakat Islam, tetapi kita sedar bahawa ianya turut disambut meriah oleh masyarakat yang beragama bukan Islam.

“Masyarakat kita sedar bahawa Islam itu mahu melihat sesuatu yang baik, persahabatan, benda yang bersih. Walaupun hari ini kita dapat lihat terdapatnya rakyat di sana yang mempunyai unsur-unsur ekstremis.

“Kita tahu Islam ini baik ia menuju ke arah kebaikan. Ekstremisme ini adalah penganutnya sahaja tetapi agama Islam menyeru kepada kebaikan di antara satu sama lain,” katanya.

Jaujan berkata amalan kunjung mengunjung dari rumah ke rumah ketika perayaan hari raya membuktikan Islam itu membimbing ke arah perbuatan dan amalan sikap yang baik.

Turut hadir pada majlis berkenaan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan Isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni, isteri Ketua Menteri Datin Seri Shuryani Shuaib, Timbalan-timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Datuk Seri Hashim Paijan, Menteri persekutuan dan negeri, pembantu-pembantu menteri dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah. -SabahNewsToday