Pilih Bahasa

Perpaduan Sabah Ok Bah

Oleh Eviannie Kin

KOTA KINABALU:  “Perpaduan Sabah ok bah, walaupun lain-lain etnik dan agama, kami boleh duduk makan semeja di kedai kopi, ketawa sama-sama.

“Sini Sabah unik, memang banyak etnik tapi itu bukan jadi masalah,” demikian celoteh Pengacara Majlis Program Keharmonian Antara Agama 2018, Ahmad Mahmud ketika mengisi ruang waktu sementara menunggu berlangsungnya majlis perasmian.

Suasana harmoni yang digambarkan beliau menjadi kekaguman oleh segelintir mereka yang sememangnya tidak pernah melihat keadaan sedemikian tetapi menjadi amalan masyarakat Sabah.

Amalan tersebut turut menjadi kekaguman buat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Waytha Moorthy Ponnusamy selaku Menteri Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial yang menyifatkan perpaduan masyarakat Sabah amat erat.

Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Mokhtar (dua dari kiri) mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menyerahkan sijil penghargaan kepada wakil ketua agama Buddha, Richard Yong (dua dari kanan). Kelihatan sama, Waytha (kiri), Ketua Pengarah JPNIN, Datuk Baharin Idris (tiga dari kanan) dan Pengarah JPNIN Sabah, Delin Liet Blaun (kanan).Gambar SNT/Ehsan Johnny Joklis

“Perpaduan seperti ini adalah sesuatu yang harus dicontohi oleh semua masyarakat Malaysia.

“Perkara begini kita patut kongsi dan kenalkan kepada masyarakat di negeri lain bahawa beginilah uniknya perpaduan di Sabah yang boleh kita pelajari,” kata beliau kepada media.

Paderi Gereja Mary Immaculate, Paul Lo sedang memberi ucapan alu-aluan kepada para peserta. Gambar SNT/Ehsan Johnny Joklis

Usaha Kukuh Perpaduan

Menyedari perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk adalah amat penting, Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Malaysia (JPNIN) dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA Sabah) melaksanakan Lawatan Harmoni ke rumah-rumah ibadat terpilih sekitar Bukit Padang sebagai pengisian Program Keharmonian Antara Agama.

Rombongan peserta seramai 200 orang dibawa menggunakan dua buah bas dan 10 buah kereta memulakan lawatan seawal jam 8 pagi ke lokasi pertama, Tokong Tzer Ying diikuti Gereja Mary Immaculate dan Kuil Sri Pasupathinath Alayam dan diakhiri dengan majlis perasmian di Masjid Nurul Hikmah.

Wakil Tokong Tzer Ying sedang memberi taklimat mengenai sejarah dan latar belakang tokong tersebut kepada para peserta.Gambar SNT/Ehsan Johnny Joklis

Setiap lokasi lawatan, para peserta diberi taklimat ringkas oleh ketua-ketua agama rumah ibadat agar dapat mengetahui, menghormati adat resam, budaya dan pantang larang di setiap rumah ibadat.

‘Resepi’ Perpaduan Warga Sabah

Bagi peserta, Rizalina Alunan, 40, yang membawa anak perempuannya, Nurul Syifa Arabsi, 7, kelihatan seronok dan gembira menyertai lawatan berkenaan.

“Ini pengalaman pertama saya berkunjung ke tokong, gereja dan kuil, sememangnya seronok kerana sebelum ini hanya melihat melalui televisyen tetapi kali ini dapat merasai sendiri berkunjung ke rumah-rumah ibadat penganut agama lain.

Rizalina Alunan, 40, yang membawa anak perempuannya, Nurul Syifa Arabsi, 7 menyertai lawatan harmoni. Gambar SNT/Ehsan Johnny Joklis

“Melalui lawatan sebegini sahaja, saya dapat mengenali, memahami dan menghormati amalan agama lain.

“Contohnya, semasa di Gereja Mary Immaculate, saya dapat melihat bagaimana perkahwinan masyarakat Kristian berlangsung dan pengalaman menyertai program sebegini sungguh bermakna.

“Sebab ini juga, saya membawa Nurul Syifa menyertai lawatan supaya dia dapat memahami serta menerima perpaduan dalam diri pada usia muda.

“Saya mahu menanam rasa bangga hidup bersatu padu dalam diri anak saya agar dia tidak kekok selain boleh memahami erti harmoni dan memelihara perpaduan yang ada,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Tokong Tzer Ying, Lim Yock Hee rasa berbesar hati kerana dapat menerima kunjungan ramai daripada para peserta yang berbeza agama dan bangsa.

“Semoga lawatan seperti ini dapat mewujudkan rasa persefahaman yang lebih baik antara penganut-penganut agama lain terhadap penganut agama Buddha.

Pengerusi Tokong Tzer Ying, Lim Yock Hee. Gambar SNT/Ehsan Johnny Joklis

“Selain itu, diharapkan usaha-usaha ini juga boleh memupuk rasa menghargai dan menghormati dalam kalangan kita,” katanya.

Menyentuh mengenai usaha perpaduan yang patut masyarakat lakukan, Zue Lyanna Nadira, 16, berkata sebagai generasi muda perlu aktif terlibat dalam program-program keharmonian sebegini.

“Penyertaan seperti ini antara sumbangan dan usaha kami sebagai anak muda yang akan meneraju negara pada masa depan.

“Perpaduan sememang penting dalam negara yang mempunyai masyarakat majmuk, jadi usaha-usaha ini diharapkan dapat memperkukuhkan perpaduan negara,” ujarnya.

Zue Lyanna Nadira (kiri) dan Sofea Arman (kanan).Gambar SNT/Ehsan Johnny Joklis

Berkongsi pandangan yang sama, Sofea Arman, 16, katanya, selain itu, generasi muda juga patut menyebar mesej-mesej positif dan nilai murni dalam media sosial.

“Contohnya, berkongsi status positif dan gambar lawatan pada hari ini agar dapat diketahui seterusnya memberi kesedaran kepada pengguna media sosial di luar sana,” katanya.

Pritam (paling kanan) bersama rakan-rakannya merakam kenangan bersama dengan salah seorang wakil Tokong Tzer Ying. Gambar SNT/Ehsan Johnny Joklis

Manakala Pritam Singh, 58, yang berasal dari Kuala Lumpur dan bekerja di sebuah syarikat IT tetapi sudah berada di Sabah sejak 12 tahun lalu menyatakan keselesaan hidup dengan komuniti Sabah yang mesra.

“Seronok tinggal di Sabah kerana komunitinya harmoni walaupun banyak etnik beza agama tapi boleh tinggal sama-sama,” katanya yang pertama kali menyertai lawatan harmoni itu.

Peserta-peserta sedang merakam gambar tempat ibadat penganut agama Hindu di Kuil Sri Pasupathinath. Gambar SNT/Ehsan Johnny Joklis

Kejayaan program ini adalah hasil daripada penglibatan pelbagai pihak termasuklah wakil-wakil setiap agama yang menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bagi oleh segenap komuniti berbilang kaum dan agama dengan misi sama iaitu perpaduan.

Hargai Harmoni Kekal Perpaduan

Sesungguhnya, konteks perpaduan negara dan keagamaan adalah matlamat utama dalam setiap pelaksanaan dasar sama ada ekonomi, sosial mahupun politik kerana negara cemerlang adalah hasil daripada masyarakat yang bersatu padu tanpa mengira latar belakang, agama dan bangsa.

Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEINS) menyerahkan cenderakenangan kepada Paul Lo (kanan). Gambar SNT/Ehsan Johnny Joklis

Ayuh, rakyat Malaysia sama-sama kita menghargai kesejahteraan dan keharmonian perpaduan yang dikecapi selama ini.-SabahNewsToday/Jabatan Penerangan