Pilih Bahasa

Persatuan Alumni FPSK UMS ceriakan pesakit di Hospital Likas

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Persatuan Alumni Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (PALM-FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini telah menganjurkan suatu program kemasyarakatan di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah (HWKKS) yang bertemakan “Bags of Love.”

Program sehari itu merupakan program pertama yang julung kalinya diadakan dan disertai oleh Persatuan Pelajar Kejururawatan (NUSA), Persatuan Pelajar Perubatan (MEDSTAS) UMS serta Bags of Love Malaysia bersempena dengan sambutan Hari Raya dan Kaamatan pada bulan ini.

Para alumni FPSK UMS bersama pelajar perubatan dan kejururawatan sedang memulakan pengagihan Love Bags di Wad Kanak-kanak, Hospital Likas. Gambar SNT/Ihsan UMS

Selain itu, ianya juga merupakan satu pendekatan bagi memperkenalkan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) serta Hospital UMS (HUMS) yang dijangka siap pada Januari 2021, kata Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FPSK UMS, Dr Yeap Boon Tat semasa merasmikan program tersebut.

“Sebagaimana kita sedia maklum, HUMS akan siap pada Januari 2021. Oleh itu, kita ingin menguar-uarkan kepada orang ramai tentang kewujudan FPSK dan HUMS di Sabah,” ujar Dr Yeap yang juga merupakan graduan perubatan pertama FPSK UMS pada tahun 2003-2008.

Pengagihan beg hadiah kepada pesakit kanak-kanak. Gambar SNT/Ihsan UMS

Sementara itu beliau berkata “Bags of Love Malaysia” merupakan suatu gandingan rakan serta keluarga yang bertujuan menunjukkan keprihatinan terhadap masyarakat yang kurang bernasib baik dan miskin.

Ia ditubuhkan pada tahun 2008 dan mereka sentiasa aktif untuk menabur bakti kepada masyarakat yang sentiasa memerlukan sokongan di seluruh Malaysia.

Pelajar perubatan FPSK sedang mengagihkan FMHS Love Bag kepada pesakit di Hospital Likas. Gambar SNT/Ihsan UMS

Beliau menyatakan bahawa program ini telah mencatatkan sejarah di FPSK di mana alumni yang terdiri daripada graduan doktor, jururawat  dan juruteknologi makmal perubatan (JTMP) berserta pelajar-pelajar FPSK UMS berupaya menganjurkan aktiviti kemasyarakatan yang bersahsiah tinggi di peringkat negeri ini.

“Tahun ini, UMS merayakan ulang tahun Jubli Perak sempena penubuhan yang ke-25. Oleh itu, UMS dan FPSK ingin menunjukkan kepada rakyat negeri Sabah sebagai universiti yang berpaksikan masyarakat.

Dr Yeap (empat kanan) dan Timbalan Dekan (Pascasiswazah dan Penyelidikan) Prof. Madya Dr. Firdaus Hayati (dua kanan) mengambil gambar bersama with pelajar perubatan sebelum mengagihkan Love Bags. Gambar SNT/Ihsan UMS

“Kita bertekad untuk sentiasa cemerlang di dalam bidang perubatan dan membawa kemudahan perubatan kepada masyarakat setempat.

Antara aktiviti yang berlangsung termasuklah penyampaian beg yang berisi barangan keperluan Hari Raya dan Kaamatan kepada pesakit-pesakit kanak-kanak di HWKKS oleh Presiden Bags of Love Malaysia, Nur Davina Skymmar bersama para alumni dan pelajar FPSK.

“Penyampaian goodie bags ini diharapkan berupaya mengurangkan kesengsaraan hidup dan membawa kegembiraan kepada pesakit kanak-kanak di HWKKS sempena Hari Raya dan Kaamatan ini.

“Kita berdoa agar mereka cepat sembuh supaya dapat beraya bersama keluarga tersayang di kampong halaman,” kata Davina.

“Kita berharap agar dapat meneruskan aktiviti ini bersama alumni FPSK di UMS dari semasa ke semasa. Aktiviti seperti ini adalah penting untuk merapatkan silaturahim antara alumni dengan pelajar dan pensyarah FPSK UMS.

“Kerjasama erat ini diperlukan untuk memastikan FPSK sentiasa cemerlang untuk memakmurkan kesejahteraan komuniti di Sabah,” tambah Dr Yeap lagi.-SabahNewsToday