Pilih Bahasa

Persatuan Gel Blaster Sabah beri kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis

KOTA KINABALU: Persatuan Gel Blaster Sabah memberi jaminan akan bekerjasama dengan pihak polis dan bahagian pelesenan IPK Sabah untuk memastikan sukan extreme ini dijalankan mengikut peraturan yang ditetapkan.

Gambar SNT/Ihsan Facebook Persatuan Gel Blaster Sabah

Ahli-ahli persatuan turut dinasihatkan agar memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan tidak terlibat dengan aktiviti menjual beli peralatan blaster selagi belum mendapat kelulusan permit tersebut.

Nasihat dalam bentuk satu kenyataan dikeluarkan dalam laman Facebook rasmi Persatuan Gel Blaster Sabah hari ini berikutan penahanan 70 pemain gelblaster dan rampasan 70 senjata gelsoft oleh pihak polis kelmarin.

Menurut kenyataan itu, borang permohonan Permit Jual & Beli telah dihantar ke Balai Polis Penampang dua minggu lalu.

Sementara itu, ahli-ahli dinasihatkan untuk tidak mengadakan “OPEN GAME” atau bermain di tempat awam kerana menjejaskan proses permohonan lesen jual dan beli.

Sesiapa yang menjual Blaster tanpa permit dari Persatuan GelBlaster Sabah akan diambil tindakan tegas dan boleh dilaporkan kepada pihak polis berdekatan, menurut persatuan.

Selain itu, para ahli adalah:

  • Dilarang bermain ditempat awam dan membawa Blaster anda ke tempat awam.
  • Dilarang bermain ditanah sendiri dengan menjemput bukan ahli persatuan dan juga tidak boleh memungut Entrance Fee atau yuran perlawanan.

Kumpulan-kumpulan Blaster di Sabah juga diminta memantau dan menasihatkan ahli masing-masing supaya tidak terbabit dengan aktiviti-aktiviti menjual secara haram dan tanpa permit dari persatuan yang boleh menjejaskan nama baik Gelsoft Sabah.

Setelah Lesen Jual & Beli diluluskan oleh pihak IPK Perlesenan, pihak Persatuan Gel Blaster Sabah boleh mengadakan perlawanan terbuka atau tournament atau International game dengan negara-negara jiran kita pada masa yang akan datang.

Persatuan turut mengucapkan terima kasih kepada pihak polis atas nasihat yang diberikan.-SabahNewsToday