Pilih Bahasa

Persatuan keluarga berperanan cegah masalah PTI

Oleh Sabah News Today

Ewon (kanan) membeli tiket bertuah sebagai sokongan Hari Keluarga Besar Lomok. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

KOTA BELUD: Semua lapisan masyarakat termasuk persatuan keluarga harus memainkan peranan penting untuk mencegah masalah pendatang asing tanpa izin (PTI di negeri ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Ewon Benedick berkata melalui persatuan keluarga masyarakat boleh memastikan rumah, kedai, ladang dan kilang perusahaan milik ahli-ahli keluarga bebas daripada pendatang asing tanpa izin.

“Masalah pendatang asing tanpa izin merupakan bahan perbualan hangat rakyat Sabah ketika ini. Kerajaan sememangnya bertanggungjawab mencari penyelesaian tetapi sebenarnya kita sendiri juga boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada masalah ini. 

“Mari kita pastikan rumah, kedai, ladang dan kilang perusahaan milik ahli keluarga dan kampung kita secara keseluruhannya bebas daripada PTI. Kalau ini dapat dilakukan saya percaya kawasan kita di DUN Kadamaian bebas daripada masalah pendatang asing tanpa izin,” katanya.

Ewon bersalaman dengan ahli keluarga Lomok pada sambutan Hari Keluarga Besar Lomok di Kota Belud. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Sambutan Hari Keluarga Besar Lomok di Kampung Piasau Kota Belud di sini semalam.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata beliau maklum bahawa penduduk  menyatakan kekhuatiran mereka terhadap masalah pendatang asing di Sabah.

Katanya di peringkat kerajaan ini merupakan satu perkara yang perlu diselesaikan dan Kabinet negeri telah membuat ketetapan memanggil Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran memberikan taklimat seterusnya berbincang mengenai cadangan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) kepada pendatang asing yang sudah berada di negeri ini melalui pemberian dokumen IMM13 Sijil Bancian dan Burung-Burung yang diberikan oleh kerajaan lalu.

Ewon (kiri) menerima cenderahati daripada Pengerusi Penganjur Hari Keluarga besar Lomok, Janu Sula. – Gambar SNT/Ihsan KPLB

“Saya tidak akan membuat kenyataan mengenai cadangan ini sehingga taklimat dan perbincangan terperinci tersebut dibuat kerana saya sendiri mempunyai banyak persoalan yang ingin diajukan kepada Kementerian Dalam Negeri.

“Tetapi di peringkat kita sebagai komuniti di kampung, saya ingin mengajak semua rakyat di Kadamaian termasuk melalui persatuan keluarga menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah ini dengan menjadikan Kadamaian bebas daripada pendatang asing tanpa izin,” katanya.

Ewon turut menyatakan bahawa, Kursus Pengurusan dan Pentadbiran MPKK yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah mencakupi peranan MPKK dalam memastikan kedaulatan kampung masing-masing daripada dicerobohi PTI.

Ewon menyeru agar persatuan keluarga dapat menubuhkan koperasi dan mengambil bahagian dalam aktiviti keusahawanan desa termasuk perusahaan eko pelancongan di kawasan tanah milik ahli keluarga. – SabahNewsToday