Pilih Bahasa

PERSATUAN PEMBANGUNAN SOSIO-EKONOMI D’BAYU NEGERI SABAH TEKAD BANTU USAHAWAN TINGKAT PENDAPATAN

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Persatuan Pembangunan Sosio-Ekonomi D’Bayu Negeri Sabah (D’Bayu) menafikan tuduhan pelbagai pihak kononnya telah menggunakan dana persatuan untuk tujuan yang tidak berfaedah.

Jurucakap D’Bayu, Terence Yong berkata, dana persatuan khususnya yang dikutip melalui yuran pendaftaran adalah bagi menampung kemudahan bantuan khas percuma yang ditawarkan kepada ahli berdaftar.

Terence Yong. Gambar Fail SNT

“Sejak beberapa bulan lalu, timbul pelbagai dakwaan dan fitnah yang buruk dilemparkan kepada kami khususnya di media sosial termasuk dikaitkan pembabitan ahli politik dalam persatuan ini.

“Justeru itu, saya bagi pihak persatuan menafikan segala tuduhan dan fitnah yang buruk terhadap kami dan sudah pasti segala aktiviti yang dilaksanakan termasuk memberi bantuan khas percuma adalah termaktub didalam perlembagaan persatuan,”katanya dalam satu kenyataan disini.

Terence berkata, pihaknya turut merakamkan rasa kesal dengan penyebaraan maklumat yang tidak benar selain telah melaporkan kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan selanjutnya.

Antara sebaran fitnah yang di sebarkan di beberapa laman sosial termasuk whatsApp. Gambar SNT/Ehsan Pembaca

“Maka dengan itu pihak persatuan menyeru agar pihak tertentu segera menghentikan fitnah dan sebaran negatif terhadap persatuan.

“Untuk tahun ini perancangan rapi telah disusun khusus untuk ahli persatuan terutama dalam aspek membantu dalam pembangunan sosio ekonomi. Sebarang pertanyaan boleh diajukan terus kebahagian Unit Penerangan persatuan,”katanya.

Sementara itu, Terence berkata, D’Bayu merupakan sebuah persatuan kebajikan yang berdaftar melalui Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dengan sijil pendaftaran (PPM-002-12-22102018) pada 22 Oktober 2018.

“Persatuan ini turut menyasarkan kepada aktiviti yang mampu meningkatkan taraf sosio-ekonomi ahli-ahli yang berdaftar secara holistik.

“Selain itu, kami turut berusaha untuk menjalin kerjasama pelbagai pihak untuk mempertingkatkan sosio ekonomi ahli melalui kaedah atau cara yang difikirkan sesuai untuk ahli persatuan,”katanya.

Dalam pada itu, Terence turut berkata, perubahan demi perubahan dilakukan oleh pihak persatuan untuk memastikan agenda memperkasakan kebajikan ahli-ahli dapat dilaksanakan dengan mantap dan berkesan.

“Ahli-ahli persatuan adalah terdiri daripada rakyat Sabah dari seluruh negeri yang menyertai persatuan secara sukarela.

“Penerangan dan pencerahan telah diadakan di beberapa daerah di Sabah iaitu Tenom, Keningau, Nabawan, Sook dan Tambunan. Sambutan orang ramai terus meningkat dengan keahlian baru. Sesi jelajah akan diteruskan di beberapa daerah yang lain dalam masa yang terdekat,”katanya.

Tambahnya lagi, pihaknya juga akan menaja ahli bagi mengikuti kursus atau latihan keusahawanan yang akan bermula tahun ini. -SabahNewsToday