Pilih Bahasa

Persediaan kempen Piala Malaysia Tambadau Sabah berjalan lancar

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Persiapan Tambadau Sabah berjalan lancar dan prestasi para pemain dalam dua perlawanan persahabatan hujung minggu lalu menunjukkan kesediaan memulakan kempen Piala Malaysia 2019.

Pengurus pasukan, Henry Soimpon gembira dengan prestasi yang ditunjukkan pemain dalam dua aksi persahabatan itu.

Henry Saimpon. Gambar Fail SNT

Katanya dua kemenangan yang dicapai juga telah mengembalikan momentum baik selepas Tambadau tewas dalam perlawanan terakhir liga, tempoh hari.

Pada Sabtu dan Ahad lalu, Tambadau Sabah bermain dengan UKM FC di Selangor dan skuad bimbingan Jelius Ating menang kedua-dua perlawanan itu.

Pasukan yang dibarisi pemain simpanan pada aksi pertama menang 1-0 manakala pasukan utama menang 2-1 pada aksi kedua.

Gol pada perlawanan pertama dijaringkan Ummareng Bacok manakala kedua-dua gol perlawanan kedua dijaringkan Aguinaldo Mendes.

“Persiapan pasukan juga kini berjalan dengan lancar dengan kesemua pemain kini dilihat sangat bersemangat untuk memulakan saingan Piala Malaysia,” kata Henry ketika dihubungi.

Menurutnya, semua pemain berada di tahap terbaik untuk membolehkan pasukan memulakan cabaran Piala Malaysia dengan skuad terbaik.

Sabah akan memulakan cabaran dengan dua perlawanan berturut-turut di tempat lawan, menentang juara bertahan Perak pada Ahad ini dan Pulau Pinang pada Rabu.

Sabah yang juga juara Liga Premier musim ini diundi dalam Kumpulan C bersama-sama dengan Perak, Pahang serta Pulau Pinang.-SabahNewsToday