Pilih Bahasa

Persekutuan lulus 30 projek PPR di Sabah

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah meluluskan surat kerajaan negeri berkaitan status rumah  Program Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata pihaknya berbuat demikian bagi membolehkan rumah PPR di Sabah dijadikan status sewa beli kepada penama yang memohon rumah berkenaan.

Zuraida (kanan) dan Kamarulzaman (kiri) ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Pentauliahan Pasukan Bomba Komuniti di Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Mohd Nazllie Zainul

“Memang benar kerajaan Sabah ada menulis surat kepada kita tentang perkara ini dan pada dasarnya kementerian meluluskan permintaan itu.

“Ada 30 kawasan perumahan PPR di negeri ini telah diluluskan sepertimana permintaan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Pentauliahan Pasukan Bomba Komuniti, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Noor Ihsan Che Mat dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah.

Seramai 276 peserta Bomba Komuniti membabitkan sembilan Parlimen seperti Kudat, Sepanggar, Ranau, Tenom, Beluran, Libaran, Silam, Tawau dan Kalabakan menyertai latihan berkaitan kebombaan selama sehari pada 25 Ogos lalu.

Dalam pada itu, ditanya samaada terdapat sebarang perancangan bagi menambah pembinaan rumah PPR di Sabah, Zuraida berkata pihaknya sudah membuat keputusan akan mengadakan bengkel untuk menyelaraskan aktiviti, peruntukkan dan projek perumahan di negeri terbabit.

Beliau berkata memandangkan Sabah mempunyai undang-undang tersendiri, kementerian bakal membincangkan semua perkara berkaitan di dalam bengkel itu bagi melihat keperluan kelak.

Sementara itu, bercakap mengenai projek PPR Kionsom yang terbengkalai lebih 10 tahun lalu, Zuraida menyatakan beliau sudah bertemu dengan pemaju penyelamat semalam untuk membincang masalah itu.

“Sekarang kita cuma ada sedikit masalah teknikal kerana apabila pembaikan hendak dibuat, barang gantian itu tidak dapat memenuhi kriteria baru yang ditetapkan.

“Contohnya, jika pemaju mahu membetulkan lantai, mereka memerlukan kelulusan Sirim dan sebagainya walhal perkara itu tidak ada ketika pembinaan sebelum ini.

“Kalau keadaan ini berlaku, semua harga akan meningkat naik. Oleh itu, kita akan minta kepada kerajaan negeri supaya ia diselaraskan dan meminta pengecualian agar pemaju boleh membaikpulih ikut spesifikasi yang lama,” katanya.

Melibatkan 500 unit, peruntukkan sebanyak RM12 juta diberikan kepada pemaju penyelamat untuk proses baikpulih rumah PPR Kionsom dan dijangka siap pada tahun 2020. –SabahNews Today