Pilih Bahasa

PERSEKUTUAN LULUS PROJEK BERJUMLAH RM40 JUTA BAGI PUTATAN

Oleh Chris Maskilone


PUTATAN: Rakyat di daerah ini bakal menikmati lebih kemudahan dengan lulusnya projek pembangunan berjumlah RM40 juta daripada Kerajaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Awang Husaini Sahari berkata antara projek yang telah mendapat kelulusan itu adalah projek pembinaan Balai Bomba daerah, Stadium Sukan, Pasar dan Tapak Tamu.

Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari. Gambar Fail SNT/Datu Ruslan Sulai

Menurutnya lagi, bagi Pasar Putatan ianya akan dipindahkan ke sebuah kawasan baharu yang lebih sesuai.

Kerja-kerja awalan bagi kesemua projek ini dijangka bermula pada tahun ini juga, katanya.

Di samping itu, Awang Husaini berkata beberapa projek juga kini dalam usaha mendapatkan kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan iaitu; Pusat Aktiviti Perpaduan (PAP), Kolej Pra Universiti Mod Satu Daerah Putatan, projek pembesaran Klinik Kesihatan daerah Putatan, projek pembinaan Klinik Kesihatan Pulau Gaya dan projek pembinaan SK. Lok Kawi, Putatan.

Walaupun pembangunan infrastruktur di daerah Putatan ini dijangka semakin pesat, Awang Husaini mahu ianya dibangunkan secara teratur sesuai dengan visinya “Bandar Terancang Untuk Putatan.”

Beliau optimis untuk memastikan pembangunan menyeluruh untuk daerah ini demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.-SabahNewsToday