Pilih Bahasa

Pertandingan Rapou Kaamatan pada 27 Mei promosi Kehidupan Masyarakat etnik Dusun

Oleh Chris Maskilone

PENAMPANG: Buat julung kalinya, masyarakat etnik Dusun akan memperagakan warisan kebudayaan masing-masing dalam Pertandingan Rapou sempena Pesta Kaamatan 2019.

Setiap kumpulan etnik yang menyertai pertandingan Rapou pada 27 Mei di Dewan Hongkod Koisaan nanti antaranya akan diadili berdasarkan kreaviti masing-masing.

Freddie (hujung) bergambar dengan AJK pelaksana pertandingan Rapou sebelum mempengerusikan mesyuarat di bilik mesyuarat KDCA hari ini. Gambar SNT/Chris Maskilone

Konsep pertandingan Rapou ini ialah drama tari dengan tema Kehidupan Masyarakat, menurut Pengerusi Penganjur Datuk Freddie Sua.

Pengisian pertandingan Rapou menyerupai Odou Bakanjar yang dianjurkan oleh masyarakat Tatana di Kuala Penyu.

Antara objektif pertandingan ialah menghargai peranan suku-suku kaum di Sabah dalam membina jati diri bangsa yang kuat serta memberi peluang kepada kumpulan-kumpulan etnik Dusun untuk memperkenalkan budaya masing-masing, katanya.

Freddie berkata pertandingan ini diilhamkan daripada gaya hidup masyarakat Dusun dahulu kala yang ‘Mangayau’ atau menjelajah dari satu kampung ke satu kampung lain samaada untuk beradu tenaga ataupun dalam apa segi saja termasuklah bersabung ayam.

“Pada mulanya kami menggunakan nama Mangayau namun kita mengubahnya kepada Rapou memandangkan Mangayau mempunyai konotasi negatif di kalangan etnik Dusun.

“Antaranya, Mangayau ini dikaitkan dengan perbuatan memenggal kepala atau Pangait pada masa dahulu dan ada juga kumpulan etnik lain yang mengaitkannya dengan peperangan antara suku,” katanya.

Jawatankuasa pelaksana membuat keputusan menggunakan perkataan Rapou yang memberi makna ‘berkunjung” ataupun “berkumpul.”

Acara ini diharap dapat menggalakkan masyarakat etnik Dusun serta lain-lain untuk terus memelihara warisan kebudayaan dan tradisi terutama dikalangan generasi muda, katanya.

Menurut Freddie, 10 kumpulan bakal bertanding dalam Pertandingan Rapou Kaamatan ini.

Persembahan mereka akan diadili oleh
mantan Pensyarah Kanan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan UMS Dr Paul Porodong yang juga bertindak sebagai ketua pengadil, Rita Lasimbang dari KLF, Pengarah Arkib Negeri Manjela Tan, Pengerusi Lotud Community Learning Centre, Pamanday @ Selvia Poit dan seorang pensyarah daripada UMS yang akan dinamakan kelak.

Dijangka dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Infrastruktur merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan 2019, Datuk Peter Anthony, pertandingan ini menawarkan hadiah wang tunai RM5,000 kepada juara, RM4,000 bagi naib juara, RM3,000 (ketiga), RM2,000 (keempat) dan saguhati RM1,500 kepada kumpulan yang tidak mendapat tempat.

Dua kumpulan berpengalaman dari Ranau dan Kuala Penyu akan membuat persembahan khas dalam program bermula dari jam 6 petang.

Freddie berkata kumpulan Estranged juga akan membuat penampilan khas dan mempersembahkan antaranya lagu terbaharu mereka.-SabahNewsToday