Pilih Bahasa

Pertandingan Reka Fesyen Etnik Sabah 2019/2020

Rahmahjan (lima dari kiri) bersama Joanna Kitingan (empat dari kiri), Amisah (enam dari kiri ) dan ahli jawatankuasa penganjur menunjukkan poster pertandingan itu. – Gambar SNT/Ihsan RJ Couture

KOTA KINABALU: Pereka fesyen di Sabah dipelawa menyertai Pertandingan “Sabah Ethnic Couture Design Competition 2019/2020 yang julung kali diadakan di negeri ini.

Pertandingan itu dibahagi kepada dua kategori iaitu “Traditional Costume of Sabah” dan “contemporary evening wear” bermotifkan etnic Sabah.

Pertandingan itu adalah anjuran RJ Couture bersama KDCA Women’s Council, menawarkan hadiah berupa wang tunai RM5 ribu, trofi dan sijil  bagi pemenang johan.

Naib johan akan menerima hadiah wang tunai RM4 ribu, trofi dan sijil. Manakala tempat ketiga akan menerima hadiah wang tunai RM3 ribu dan sijil.

Pengasas RJ  Couture, Datuk Rahmahjan Sulaiman Khan berkata, tiga pemenang utama daripada 20 rekaan yang terpilih akan di showcase di pertunjukkan fesyen di London.

Katanya, penyertaan untuk pertandingan itu dibuka sejak 5 Julai 2019 dan tarikh tutup penyertaan pada 30 November 2019. Yuran penyertaan yang dikenakan ialah sebanyak RM600 bagi setiap kategori.

“Pertandingan bagi pusingan pertama akan diadakan pada 7 Disember 2019, pusingan kedua pada 11 Januari 2020 manakala pertandingan akhir pada 14 Mac 2020”, katanya pada sidang media di pejabatnya di K.K Times Square di sini hari ini

Turut hadir ialah Pengerusi KDCA Majlis Wanita, Joanna Kitingan; Penasihat Pertandingan, Datuk Amisah Yassin dan ahli jawatankuasa penganjur.

Sementara itu Joanna berkata, pertandingan itu merupakan peluang keemasan  kepada para pereka fesyen di Sabah untuk menunjukkan bakat dan rekaan unik mereka.

“Mereka perlu merebut peluang ini untuk melangkah lebih jauh lagi dalam dunia rekaan fesyen. Pertandingan ini merupakan batu loncatan kepada mereka untuk menembusi pasaran luar dan antarabangsa.

“Ini kerana rekaan terbaik akan ditampilkan dalam pertunjukkan fesyen di London atas inisiatif RJ Couture bersama rakan niaganya di sana”, jelasnya. – SabahNewsToday