Pilih Bahasa

Pertandingan sukan serta permainan tradisi inisiatif dekati generasi muda

Oleh Mohd Nazllie Zainul

PENAMPANG: Penganjuran pertandingan sukan serta permainan tradisi ketika sambutan perayaan dilihat inisiatif berkesan menarik golongan muda mengenali budaya kepelbagaian kaum di negeri ini.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe berkata program walaupun dilaksanakan sebagai salah satu acara pengisian namun secara tidak langsung ia memberi informasi dan gambaran seperti aktiviti tradisi di Sabah.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe (kanan) mencuba acara Mipulos (gusti tangan) ketika perasmian Sukan dan Permainan Tradisi Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2019. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Jin Zhe berkata masyarakat boleh mempelajari sekaligus mencuba sendiri pelbagai sukan mahupun permainan tradisi khususnya masyarakat Kadazandusun, Murut dan Rungus.

“Kita percaya ramai orang awam terutamanya generasi mudah tidak mengetahui mengenai aktiviti tradisional yang selalu dimainkan suatu ketika dahulu.

“Saya sendiri belajar banyak benda baru hari ini disebabkan membesar dalam persekitaran berbeza,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pertandingan Sukan dan Permainan Tradisi Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2019, di sini, hari ini.

Acara Momolositik (melastik) ketika perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai.

Terdapat 11 acara dipertandingkan antaranya Mipulos (lawan tangan) bagi kategori lelaki dan wanita, sepak manggis (terbuka), Tumutu (memproses padi) kategori campuran dan Migazat Dukug (tarik tali) bagi lelaki serta wanita.

Dalam pada itu, sambutan Pesta Kaamatan yang sambut di perkarangan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) saban tahun juga memberi peluang kepada masyarakat melihat sendiri rumah tradisi secara dekat selain mencuba minuman serta makanan tradisi disediakan di setiap rumah berkenaan.

Acara Monungkava kalabau (menjerat kerbau) ketika perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai.

Sementara itu, Jin Zhe berkata program serta sambutan perayaan seumpama itu turut boleh  memperkenalkan Sabah kepada pelancong luar sekaligus mempromosikan sektor pelancongan setempat.

“Walaupun kita di sini mempunyai perbezaan agama, budaya dan etnik namun semua bersatu setiap kali tibanya musim perayaan termasuklah Pesta Kaamatan.

Acara Mipulos (lawan tangan) ketika perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai.

“Kita dilihat hidup dalam keadaan aman, Sabah adalah contoh yang terbaik kepada dunia kerana kita sambut perayaan ini bersama-sama,” katanya. -SabahNews Today