Pilih Bahasa

Pertandingan Unduk Ngadau tidak dibenarkan di Hongkod Koisaan – Dr Jeffrey

Dr Jeffrey Kitingan

KOTA KINABALU, 27 Mei — Pertandingan ratu cantik, Unduk Ngadau tidak dibenar diadakan di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), kata Timbalan Presiden KDCA Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Beliau berkata pihaknya telah membuat ketetapan agar tiada sambutan Kaamatan diadakan di kawasan berkenaan pada tahun ini ekoran penularan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Selaras dengan ketetapan itu kita tidak boleh membenarkan sebarang aktiviti seperti Unduk Ngadau diadakan di Hongkod Koisaan KDCA kerana ia dapat menarik perhatian orang ramai dan kita tidak mampu mengawal keadaan berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ditanya mengenai Pertandingan Akhir Unduk Ngadau Peringkat Negeri Sabah yang dijadual diadakan di Hongkod Koisaan KDCA 31 Mei ini, Jeffrey berkata pihaknya tidak boleh menghalang penganjurannya namun ia tidak boleh diadakan di Hongkod Koisaan KDCA.

“Mereka boleh melaksanakan pertandingan itu…namun kita tidak sesekali akan benarkan ia diadakan di Hongkod Koisaan KDCA,” tegasnya.

Baru-baru ini, Jawatankuasa Pesta Kaamatan Peringkat Negeri mengumumkan penganjuran Unduk Ngadau 2020 secara dalam talian, dan tujuh peserta akhir bakal bertanding di Hongkod Koisaan KDCA pada 31 Mei ini.

— BERNAMA